JANGAN BIARKAN PENDIDIKAN JADI ‘USANG’ – TOKOH GURU MELAKA 2024
AYER KEROH 10 Disember – Memulakan kerjaya sebagai guru sejak tahun 1968, pelbagai pahit manis telah ditempuh insan bernama Mat Yusof Mat Yatim, 78.
Namun jiwa pendidik anak jati Kampung Kandang itu tidak pernah padam, sebaliknya beliau terus cekal dan berusaha untuk melahirkan anak bangsa berilmu dan mempunyai jati diri.
Berkat usaha dan komitmennya membentuk kemenjadian murid, bapa kepada empat anak itu pernah dilantik menjadi guru besar termuda negara iaitu ketika berusia 25 tahun pada tahun 1972.
“Sebagai guru apa jua cabaran perlu kita hadapi dengan baik, biarpun anak murid itu nakal atau bermasalah anggap sahaja itu tanggungjawab kita.
“Saya seorang yang mempunyai prinsip di mana, setiap liku dan cabaran itu akan saya anggap sebagai ujian Allah SWT untuk menguatkan lagi diri dalam mendidik anak bangsa,” katanya ketika ditemui pemberita.
Atas dedikasi yang ditunjukkan itu, beliau telah diberikan Anugerah Tokoh Guru Negeri Melaka 2024 pada Majlis Apresiasi dan Kolokium Penyelidikan Pendidikan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024, semalam.
Anugerah itu telah disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau menerima anugerah tersebut di atas jasanya dalam membantu sektor pendidikan negara selain pernah menerima Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka pada tahun 2023.
Dalam pada itu, Mat Yusof berpesan kepada guru-guru muda masa kini agar terus menimba ilmu baharu bagi memastikan sektor pendidikan negara tidak usang dan ketinggalan.
“Jangan jadi warga pendidik yang ketinggalan ke belakang, sebaliknya kita harus kejar dan lengkapkan diri dengan ilmu baharu dari untuk terus maju,” katanya lagi.
Mat Yusof bersara pada 22 Mei 2001 dengan jawatan terakhir adalah sebagai Ketua Jabatan (Pensyarah) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Kini, dua anaknya turut mengikut jejak langkah beliau sebagai pendidik.
Sementara itu, pada majlis sama, seorang lagi guru, Abdul Halim Malek dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2024.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.