FESTIVAL MASAKAN WARISAN TONJOL AKSI KAUM ADAM DI DAPUR
AYER KEROH 9 Disember – Festival Masakan Warisan Melaka 2024 bakal menonjolkan kehebatan dan bakat memasak kaum lelaki pada 28 dan 29 Disember ini di hadapan Muzium Rakyat, Jalan Kota.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, tarikan itu dibawakan selepas pihaknya mengundang kumpulan Facebook ‘Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI)’ sebagai rakan sinergi.
“Kumpulan ini mempunyai pengikut seramai 318,100 orang sejak ditubuhkan tahun 2020, sudah tentu dengan mengundang mereka festival ini akan lebih meriah lagi.
“Kita mahu masyarakat membuang anggapan bahawa lelaki tidak boleh memasak, jadi festival ini adalah platform mengetengahkan kelebihan seorang lelaki apabila memasak di dapur.
“Di samping itu, elemen warisan masih dikekalkan mengikut etnik yang ada di Negeri Melaka sekali gus membangkitkan nostalgia pelbagai jenis masakan dan makanan warisan kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Erne berkata, festival berlangsung selama dua hari itu bakal menyasarkan seramai 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Menurutnya lagi, antara objektif penganjuran festival itu juga adalah untuk memastikan masakan dan makanan warisan Melaka tidak dilupakan.
“Kita mahu mempromosi masakan tradisional ini sebagai produk pelancongan Melaka, kita perlu berbangga dengan identiti yang dipamerkan melalui masakan dan makanan warisan kaum masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.