PTPTN MELAKA RAI SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK
BANDARAYA MELAKA 9 Disember – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri Melaka telah menganjurkan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia (HKK) Peringkat Negeri Melaka Bagi Tahun 2024 di Pasar Raya Kipmall, di sini, 30 November lalu.
Program itu diadakan bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia iaitu acara tahunan yang disambut bagi memupuk kesedaran tentang isu-isu dan mewujudkan persefahaman di antara kanak-kanak di seluruh dunia.
PTPTN mengambil inisiatif menganjurkan program tersebut bukan sahaja untuk menghargai kanak-kanak di negeri ini, bahkan mempromosikan produk Simpan SSPN sebagai pilihan utama masyarakat untuk membuat penabungan di samping menikmati pelbagai keistimewaan dan manfaat yang disediakan.
Menurut Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Melaka, Mas Anisah Ayu Othman, menerusi program tersebut, ia dapat memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak untuk mempelajari dan mempraktikan amalan menabung sambil menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan.
“Ia juga sebagai medium untuk mengenengahkan peranan PTPTN serta mempromosikan tabungan pendidikan untuk masa depan kanak-kanak,” katanya.
Menurut beliau, program sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Bersama PTPTN telah menyajikan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga, antaranya Pertandingan Mewarna Simpan SSPN, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Pakaian Beragam, Pertandingan Menyanyi dan Pertandingan Berkumpulan iaitu Jenga (susun blok kayu).
“Selain itu, terdapat juga reruai PTPTN di mana ibu bapa boleh mendapat maklumat lanjut sama ada mengenai produk simpanan, bayaran balik pinjaman dan pembiayaan pinjaman. Cenderahati menarik juga disediakan kepada para pengunjung.
“PTPTN Melaka mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh pelanggan yang sentiasa menyokong PTPTN bagi memastikan kelestarian pinjaman bagi generasi akan datang,” ujarnya.
Untuk rekod, Hari Kanak-Kanak Sedunia mula diperkenalkan dengan rasminya pada tahun 1954 dan disambut pada 20 November setiap tahun.
Tema Hari Kanak-Kanak Sedunia bagi tahun 2024 adalah ‘Hak Kanak-Kanak untuk Bermain’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.