Sorting by

×

KUALA LUMPUR MUSNAH IMPIAN PERAK PERTAHAN JUARA PIALA TUN ALI

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DUYONG 8 Disember – Kuala Lumpur (KL) dinobatkan juara regu lelaki di Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2024 selepas menundukkan Perak 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, hari ini.

Aksi cemerlang KL terserlah sejak awal permainan apabila gandingan Amirul Zazwan Amir, Syahir Rosdi dan pemain import dari Thailand Aekkasit Naphom menang mudah di set pertama dengan keputusan 15-6.

Meskipun ketinggalan sembilan mata, Perak yang menurunkan gandingan Meor Mohamad Zulfikar, Aidil Aiman Azwani dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin memberi saingan sengit di set kedua apabila mendahului seketika dengan tiga mata dihadapan bagi mengheret perlawanan ke ‘tie break’.

Namun, servis kencang Syahir menghadiahkan mata penamat, sekali gus membenamkan impian juara musim lalu itu untuk mempertahankan gelaran apabila terpaksa akur dengan keputusan 17-16 di set kedua.

Kemenangan itu membolehkan KL membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 bersama medal dan trofi manakala Perak yang muncul naib juara membawa pulang RM10,000 dan Negeri Sembilan serta Johor berkongsi dikedudukan ketiga membawa pulang wang tunai RM5,000.

Bagi kategori beregu lelaki pula, Kedah mengakhiri penantian 10 tahun apabila muncul juara selepas menewaskan Perak 15-13 dan 15-10 untuk meraih RM10,000 sementara naib juara membawa pulang RM8,000 dan Pahang serta Pulau Pinang di tempat ketiga masing -masing RM4,000.

Dalam kategori regu wanita pula KL juga muncul juara selepas mengalahkan Perak 2-1 sekali gus membolehkan KL meraih RM5,000 dan Perak RM3,000 sementara tempat ketiga yang dikongsikan bersama Kelantan dan Selangor dengan masing-masing meraih RM1,000.

KL turut menambah koleksi kemenangan selepas Muhammad Syahir diumum Tekong Terbaik dan Apit Kanan Terbaik pula milik Aekkasit manakala pemain Perak Aidil Aiman dipilih sebagi Apit Kiri Terbaik.

Hadiah kejohanan disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dengan diiringi Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali
Redzuan, Yang di-Pertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Ab Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu disertai 18 pasukan dalam acara regu dan beregu lelaki selain buat pertama kalinya memperkenalkan kategori regu wanita yang menampilkan sembilan pasukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

399
Kongsi :
Previous post REZEKI MAIN DAM AJI, MENANG KERETA
Next post KETUA MENTERI RAIKAN LEBIH 4,000 PEKERJA PEMBERSIHAN
Ubah saiz-+=