Sorting by

×

ERA BAHARU KOTAK PERMAINAN DAM AJI BERMULA DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Permainan dam aji akan menjadi tarikan baharu Negeri Melaka selepas ia dinaik taraf menjadi sebuah kotak permainan bertaraf antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kotak permainan itu akan diberikan secara percuma di gerai-gerai terpilih dan lokasi tumpuan seluruh negeri ini bagi menghidupkan kembali semangat permainan tradisional itu di Melaka.

Jelasnya, ia sekali gus berupaya mengangkat martabat permainan tersebut menjadi satu lagi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Permainan dam aji ini akan kita tambah baik ke dalam bentuk kotak permainan bertaraf antarabangsa supaya ia dapat menjadi satu model baharu permainan rakyat.

“Kita juga akan memberikannya secara percuma di gerai-gerai dan lokasi tumpuan supaya orang ramai dapat menghidupkan permainan ini di Melaka.

“Ia sekali gus mengangkat permainan ini daripada sekadar hobi menjadi satu era baharu permainan tradisional yang akan dikomersialkan di peringkat Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pertandingan dam aji di Melaka terbukti berjaya menarik minat ramai apabila penganjuran pertama yang bermula di peringkat DUN disertai seramai 750 peserta membabitkan pelbagai lapisan umur.

Tidak terhenti di situ, pertandingan itu dilebarkan ke pertandingan peringkat terbuka yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan disertai ratusan peserta dari seluruh negara termasuk Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

“Saya amat terharu dan terkesima dengan sambutan yang diberikan ini, insya-Allah kita akan perhebatkan lagi pada tahun depan agar ia dapat menjadi medium ukhwah dan seterusnya menggamit lebih ramai pelancong ke Melaka tahun depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1072
Kongsi :
Previous post MELAKA CIPTA REKOD PENGANJURAN DAM AJI TERBESAR NEGARA
Next post REZEKI MAIN DAM AJI, MENANG KERETA
Ubah saiz-+=