Sorting by

×

MELAKA CIPTA REKOD PENGANJURAN DAM AJI TERBESAR NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Melaka berjaya melakar sejarah baharu negara apabila berjaya menganjurkan pertandingan dam aji terbesar dengan penyertaan 780 peserta dari seluruh negara.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Kerajaan Negeri menerusi Tourism Melaka menerima pengiktirafan Largest Dam Aji (Checkers) Competition daripada The Malaysia Book Of Records.

Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pertandingan yang diilhamkan itu terbukti berjaya mengharumkan nama Negeri Melaka, selain ia juga telah mengangkat martabat sukan tradisional rakyat itu.

Beliau berkata, selepas kejayaan edisi sulung pertandingan itu, pihaknya akan meneruskan penganjuran pertandingan itu tahun depan dengan melakukan beberapa penambahbaikan, selain menyasarkan lebih ramai peserta.

“Pertandingan ini telah bermula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November lalu dan kemudian kita menganjurkan pertandingan terbuka di mana, pemenang peringkat DUN akan bertanding dengan pemenang di peringkat terbuka untuk membawa pulang hadiah sebuah kereta Perodua Axia.

“Alhamdulillah, kita dapati hasil daripada pertandingan ini, minat terhadap permainan dam aji semakin meningkat di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, sepanjang penganjurannya, Kerajaan Negeri juga secara terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada orang ramai untuk memberi nilai tambah kepada penganjuran pertandingan dam aji edisi kedua tahun depan.

“Antara cadangan yang dilontarkan adalah mengadakan pertandingan mengikut oeringkat umur, selain turut memperkenalkan kategori lelaki, wanita dan veteran tahun depan.

“Jadi, kita akan meneliti semua buah pandangan itu dalam memastikan pertandingan ini semakin mendapat sambutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKENAL PERTANDINGAN KONDA KONDI ALAF BAHARU TAHUN DEPAN
Next post ERA BAHARU KOTAK PERMAINAN DAM AJI BERMULA DI MELAKA
Ubah saiz-+=