Sorting by

×

MELAKA PERKENAL PERTANDINGAN KONDA KONDI ALAF BAHARU TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Selepas kejayaan menganjurkan pertandingan dam aji terbesar, Kerajaan Negeri Melaka akan mengangkat martabat satu lagi permainan tradisional negara.

Permainan tradisional itu adalah konda kondi, di mana ia akan diangkat tarafnya sebagai satu permainan alaf baharu yang sesuai dengan dunia digital masa kini.

Memaklumkan hasrat itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri kini sedang bekerjasama dengan Politeknik Merlimau untuk membangunkan permainan tersebut dalam bentuk teknologi baharu untuk diperkenalkan tidak lama lagi.

Jelas beliau, sama seperti dam aji, permainan konda kondi itu juga akan diangkat menjadi sebuah pertandingan berskala besar yang akan dibuka penyertaannya kepada orang ramai di seluruh negara.

“Konda kondi ini akan menjadi satu lagi permainan tradisional yang akan diangkat martabatnya oleh Negeri Melaka menjadi satu pertandingan alaf baharu yang akan kita perkenalkan tahun depan.

“Sesuai dengan dunia digital masa kini, taraf permainan ini dinaikkan dan kita juga akan menganjurkan pertandingan konda kondi berskala besar di mana kini ia di peringkat kajian sebelum kita memperkenalkannya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Terbuka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, Ab Rauf turut menyaksikan pertandingan akhir dam aji membabitkan wakil Melaka dan Johor.

Di akhir pertandingan menyaksikan anak Melaka, Fairuz Nizam Ibrahim muncul johan Pertandingan Dam Aji Piala YAB Ketua Menteri Melaka Terbuka, sekali gus membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Perodua Axia.

Seramai 780 peserta menyertai pertandingan tersebut sekali gus melayakkan pertandingan itu menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebagai Largest Dam Aji (Checkers) Competition di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post MELAKA CATAT 12.5 JUTA PELANCONG SETAKAT OKTOBER
Next post MELAKA CIPTA REKOD PENGANJURAN DAM AJI TERBESAR NEGARA
Ubah saiz-+=