HARGAI, KENALI DIRI JIKA MAHU BERJAYA
DURIAN TUNGGAL 8 Disember – Kunci kepada sebuah kejayaan adalah apabila seseorang itu mampu mengenali dan menghargai diri sendiri.
Itu kata Muhammad Faiz Ikmal Azlan,23, penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-26 Universiti Islam Melaka (UNIMEL).
Berkongsi kejayaan itu, anak kedua dari tiga beradik ini berkata anugerah tersebut tidak akan diperolehi sekiranya tiada sokongan daripada ibu dan bapanya.
“Alhamdulillah, syukur dengan anugerah diterima, ini adalah hadiah istimewa untuk ibu dan ayah kerana mereka selalu membantu serta memberi sokongan kepada saya.
“Anugerah ini bukan hanya kebanggaan kepada saya dan keluarga, tetapi kepada semua khususnya UNIMEL.
“Apa yang saya boleh kongsikan paling penting adalah kita tahu kemampuan diri dan hargai diri sendiri kerana ia adalah permulaan untuk berjaya,” katanya.
Terdahulu anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, hari ini.
Katanya lagi, sebagai anak dia juga sentiasa menghormati ibu bapa dan menerima segala nasihat yang diberikan.
“Jagalah hubungan dan sentiasa baik dengan para pensyarah di universiti kerana mereka sumber ilmu kita.
“Kita kena tahu cara belajar yang terbaik kerana setiap orang berbeza, saya lebih gemar menulis semula apa saya cakap supaya tidak lupa apa yang dipelajari,” katanya.
Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Kepujian) dari Fakulti Sains Sosial ini turut menyimpan impian menjadi pensyarah dalam bidang kaunseling dan psikologi.
“Insya-Allah saya akan kejar cita-cita saya menjadi pensyarah seterusnya aktif dalam dunia kaunseling dan psikologi selain berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi.
Kejayaan itu melayakkan Muhammad Faiz Ikmal menerima wang tunai RM2,000, sijil serta plak cenderamata.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.