BILA LARUT MALAM NIGHT SAFARI TERUS DAPAT SAMBUTAN
AYER KEROH 8 Disember – Zoo Melaka terus menjadi pilihan pengunjung dan pelancong yang memanfaatkan tawaran harga tiket murah sempena program Melaka Bila Larut Malam Edisi Disember 2024
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, orang ramai mula beratur untuk membeli tiket seawal jam 8.45 malam untuk menyaksikan gelagat haiwan pada waktu malam menerusi kakej Bila Larut Malam Night Safari ditawarkan.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, walaubagaimanapun Bila Larut Malam Night Safari dihadkan kepada 1,200 orang sahaja.
“Sejak Jun hingga November Zoo Melaka menerusi Bila Larut Malam Night Safari merekodkan jumlah pengunjung seramai 7,616 dan Edisi Disember adalah penganjuran terakhir bagi tahun ini.
“Meskipun Night Safari tidak membabitkan semua haiwan, namun masih ramai yang datang, mereka tertarik dan mahu lihat gelagat haiwan Nokturnal ini yang aktif pada waktu malam.
“Sudah pasti kita menerima pelbagai ‘feedback’ daripada pengunjung yang gembira dengan tawaran harga RM10, berdasarkan maklumat diterima kami melakukan penambahbaikan untuk keselesaan semua,” katanya.
Sapiah berkata demikian selepas meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung Zoo Melaka bersempena Bila Larut Malam Night Safari Edisi Disember 2024 dengan diiringi Pengarah Zoo Melaka Zanariah Khamis.
Menurut Sapiah, pihak Zoo Melaka sentiasa bersedia sekiranya program Bila Larut Malam akan diteruskan pada tahun hadapan dan beberapa perancangan untuk kerja penambahbaikkan sudah dikenal pasti.
“Antara yang kita kenal pasti untuk tambah baik adalah faktor pencahayaan namun begitu kita perlu lihat kesesuaiannya, kerana tidak semua haiwan sesuai dengan keadaan cahaya yang terang.
“Sementara itu perkhidmatan ‘buggy’ tahun depan kita juga akan lakukan penambahan, jumlah sedia ada sekarang ini dilihat tidak mencukupi. Selain Night Safari tahun hadapan juga kita akan fikirkan cara yang terbaik bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman menarik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.