POPULARKAN MELAKA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN PERMOTORAN
AYER KEROH 8 Disember – Melaka berpotensi diperkenalkan sebagai hab dan destinasi pelancongan berasaskan permotoran selepas kejayaan menganjurkan RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 buat julung kalinya.
Keyakinan itu dizahirkan Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman selepas melihat sambutan hebat diberikan sepanjang dua hari penganjuran program itu pada 6 dan 7 Disember.
Menurut Abdul Razak, melalui penganjuran himpunan peminat dunia permotoran terbesar negara itu juga, ia dapat menjadikan Melaka sebagai pusat pelancongan berasaskan rekreasi sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Ini merupakan salah satu alternatif untuk menarik pelancong melalui penganjuran program yang berkonsepkan permotoran yang secara langsung dapat menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Melaka.
“Ia sekali gus menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di dalam usaha menarik 15 juta pelancong ke Melaka.
“Saya berharap, penganjuran program seperti ini dapat diteruskan dengan skala lebih besar pada tahun 2025 sekali gus membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di dunia” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran MITC, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Abdul Razak turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan acara penuh kemeriahan itu.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Persatuan Sukan Bermotor Daerah Kuala Nerus di atas penganjuran program ini.
“Tidak lupa juga kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Melaka International Trade Centre (MITC) dan semua jabatan dan agensi lain yang banyak membantu menjayakan program ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.