Sorting by

×

LEBIH 50,000 GENG RXZ ‘GEGAU’ MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Melaka terbukti berjaya menganjurkan pelbagai acara pelancongan berkelas dunia apabila berjaya menggamit puluhan ribu peminat motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara.

Ia bersempena penganjuran RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC selama dua hari, berakhir malam tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, himpunan peminat motosikal legenda itu merupakan sebahagian pengisian yang disediakan Kerajaan Negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dalam usaha merealisasikan sasaran 15 juta pengunjung dan pelancong.

Ketua Menteri berkata, melihat kepada sambutan hangat yang diterima pada edisi sulung penganjurannya, program tersebut akan diteruskan lagi di Melaka, bukan sahaja pada tahun depan, bahkan pada 2026.

“Pastinya sempena Melaka menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) yang dihadiri (delegasi) dari 155 buah negara, program himpunan RXZ ini akan diteruskan bagi merancakkan lagi kemeriahan persidangan WTD yang diadakan di Melaka.

“Sehubungan itu juga, pada 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Melaka juga mahu mengambil kesempatan untuk menganjurkan lagi acara RXZ ini di Melaka.

“Jadi, dua tahun mendatang, Melaka sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah penganjuran RXZ Members ini dan pastinya kita akan memberi nilai tambah yang lebih baik untuk semua peminat RXZ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pelbagai acara pelancongan besar yang diadakan di Melaka sejak Januari hingga Disember tahun ini terbukti telah merancakkan lagi ekonomi rakyat dan industri pelancongan di negeri ini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, termasuk pengamal media yang banyak memberikan sokongan dengan mempromosikan kepelbagaian produk dan program pelancongan Melaka selama ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1420
Kongsi :
Previous post MELAKA UMUM HIMPUNAN RXZ LEBIH BESAR PADA 2025, 2026
Next post DATANG MELAKA TUNGGANG RXZ, BALIK SELANGOR PANDU X50
Ubah saiz-+=