Sorting by

×

MELAKA UMUM HIMPUNAN RXZ LEBIH BESAR PADA 2025, 2026

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Melaka mengumumkan acara himpunan peminat motosikal RXZ akan diteruskan pada skala lebih besar, tahun depan dan 2026.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Penutup RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Menteri, acara itu diteruskan selepas melihat sambutan cukup hebat daripada peminat motosikal legenda itu di bumi bersejarah ini.

Jelas beliau, program itu juga diteruskan memandangkan negeri ini bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD 2025) dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ingin saya umumkan perhimpunan RXZ akan diteruskan pada tahun depan dengan skala lebih meriah lagi.

“Tidak hanya itu, kita juga bersetuju agar pada 2026, peminat RXZ akan sekali lagi berkumpul di Negeri Melaka memandangkan kita akan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Melaka akan menjadi sebahagian daripada sambutan itu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Terdahulu, Ab Rauf tiba di perkarangan Dataran MITC dengan menunggang motosikal RXZ sambil diiringi ratusan pemilik motosikal legenda itu.

Dalam pada itu, Ab Rauf meminta penganjur himpunan itu untuk merangka acara yang lebih hebat, sekali gus menjadikan Melaka sebagai ‘Centre Of RXZ’.

Dianggarkan lebih 50,000 pemilik RXZ ‘berkampung’ di negeri ini sepanjang dua hari penganjuran RXZ Members Ride Edition 2.0 Melaka Attack 2024 di Dataran MITC.

Program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Sukan Bermotor Daerah Kuala Nerus serta Persatuan RXZ yang berlangsung selama dua hari itu bukanlah sekadar himpunan peminat dunia permotoran semata-mata.

Bahkan, ia mencakupi pelbagai aspek, antaranya program kemasyarakatan dan keagamaan seperti sumbangan kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat dan sembang santai RXZ Members bersama ustaz jemputan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2156
Kongsi :
Previous post RIBUAN RXZ ‘LUNCUR’ DI DATARAN MITC
Next post LEBIH 50,000 GENG RXZ ‘GEGAU’ MELAKA
Ubah saiz-+=