BERGANDING BAHU BANTU ‘ANAK ISTIMEWA’
PERINGGIT 7 Disember – Lebih banyak syarikat besar dan agensi diminta tampil bersama-sama dengan persatuan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam memberi sokongan kepada kemajuan perkembangan anak-anak orang kurang upaya (OKU) atau anak istimewa.
Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen berkata, anak istimewa sebenarnya memiliki potensi dan kelebihan dalam diri yang tersendiri,
“Jesteru saya berharap akan ada lebih banyak pihak yang tampil membantu dan bersama-sama dengan persatuan atau NGO untuk menyokong setiap program yang dianjurkan.
“Malah Kerajaan Negeri jbersama-sama memberi sokongan termasuk menerusi program makan amal dianjurkan oleh Kelab Kiwanis Melaka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (Adun) Bandar Hilir berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Amal Makan Tengah Hari Daun Pisang Tahunan 2024 Kelab Kiwanis Melaka, di Bukit Peringgit, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Kiwanis Down Syndrome Foundation Melaka, Theresa Thexeira dan Presiden Kelab Kiwanis Melaka, Mohamad Fathli Zakariah.
Menurutnya, selain dibantu, anak-anak istimewa perlu didik supaya mereka bukan sahaja dapat menjaga diri sendiri tetapi juga berdikari.
“Dengan sokongan yang baik mereka berpotensi menjadi insan berjaya dan mengubah nasib,” katanya.
Sementara itu, Theresa berkata, penganjuran Majlis Amal Makan Tengah Hari Daun Pisang Tahunan 2024 itu adalah penganjuran tahun keempat diadakan selepas pusat itu ditubuhkan sejak 10 tahun lalu.
“Majlis yang diadakan ini bertujuan untuk mengutip dana bagi perbelanjaan pusat kami yang memerlukan kos kira-kira RM84,000 setahun termasuk pengurusan.
“Pada masa ini kami mempunyai 23 murid yang berumur antara dua bulan hingga enam tahun. Menerusi penganjuran makan amal ini sedikit sebanyak ia dapat mencari dana bagi melancarkan operasi,” katanya.
Jelasnya, mewakili kelab itu pihaknya berterima kasih kepada pihak yang sudi tampil dan menjayakan makan amal tengah hari itu apabila berjaya menjual sebanyak 600 tiket yang setiap satunya berharga RM30.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.