MAMA TIGA ANAK ANTARA PEMINAT RXZ
AYER KEROH 7 Disember – Minat terhadap jentera dua roda bukan penghalang buat ibu kepada tiga anak ini untuk hadir memeriahkan himpunan RXZ Members Ride Edition 2.0 2024 Melaka Attack! di Dataran MITC, di sini.
Noor Azura Mohd Awal, 36, berkata, dia berasa puas setiap kali dapat berkonvoi dengan menunggang motosikal Yamaha RXZ yang dibeli ketika berusia 17 tahun iaitu selepas tamat zaman persekolahan.
Berkongsi minatnya, Noor Azura dari Petaling Jaya, Selangor, berkata dia juga tidak lokek untuk mengeluarkan belanja bagi memastikan Yamaha RXZ kesayangannya itu sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk ditunggang.
“Sebelum ini saya pernah berkonvoi hingga ke Hat Yai Thailand, jadi dari Petaling Jaya, menunggang motosikal ke Melaka bukan satu perjalanan yang jauh, tetapi perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Setiap bulan memang wajib pergi konvoi, cuma suami kerap pesan supaya sentiasa jaga diri dan pastikan mendapat rehat yang cukup, jika mengantuk berhenti sebentar sebelum sambung semula perjalanan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, memiliki motosikal Yamaha RXZ yang kini berusia lebih 30 tahun, adalah satu kepuasan buat dirinya.
“Motosikal ini usianya sebaya dengan saya, ia umpama harta yang tidak ternilai kepada saya. Insya-Allah Februari nanti saya akan ‘ride’ ke Ko Samui, Thailand pula bagi memenuhi misi konvoi saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.