BUKA PELUANG MURID KETENGAHKAN IDEA INOVASI
AYER KEROH 7 Disember – Penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka menjadi platform terbaik bagi murid sekolah untuk berkongsi dan mengetengahkan idea mereka dalam bidang inovasi.
Malah penganjuran berkenaan juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan dan membudayakan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di negara ini.
Guru sains Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau Dua, Atikah Abdul Ghani berkata, penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka amat disokong warga pendidik kerana ia mampu memupuk minat murid khususnya dalam bidang inovasi dan sains.
“Terima kasih khususnya kepada Kerajaan Negeri dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kerana menganjurkan program seperti ini. Ini adalah medium mencungkil bakat muda terutama dalam kalangan murid serta pelajar sekolah.
“Malah ini juga merupakan titik tolak untuk anak-anak pergi lebih jauh dalam bidang inovasi dan sains. Murid juga seronok kerana mereka dapat kongsikan idea bersama orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Melaka @UTeM Profesor Ts. Dr. Effendi Mohamad.
Jelasnya, pada penganjuran kali pertama ini SK Merlimau Dua yang menghantar tiga kumpulan mengetengahkan tiga inovasi iaitu ‘sabun valloera’, ‘kit easy ram’ dan ‘citrus spray’.
“Apabila dimaklumkan tahun depan akan diadakan lagi penganjuran ini, Insya-Allah kami akan tampil dengan inovasi lebih bagus dan membawa impak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.