LEBARKAN POTENSI PRODUK INOVASI MELAKA
AYER KEROH 7 Disember – Penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka dianggap sebagai satu medium penting untuk melebarkan lagi potensi produk hasil buah fikiran anak tempatan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar berkata, usaha memperkasakan budaya inovasi dapat memupuk kreativi dan daya cipta dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya lagi, usaha itu seterusnya berfungsi sebagai pemangkin dalam memperkukuhkan lagi ekosisten inovasi yang kemudian menyumbang kepada pembangunan sosial serta ekonomi negeri.
Katanya, penganjuran program berkenaan juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran berhubung kepentingan motivasi dalam menghadapi cabaran masa hadapan serta memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Hari Inovasi Negeri Melaka ini bukan sahaja menjadi platform untuk kita mempamerkan hasil inovasi tempatan, tetapi juga sebagai batu loncatan untuk membawa inovasi dihasilkan ke hingga ke peringkat antarabangsa.
“Menerusi penganjuran seperti ini, orang Melaka khususnya diberikan akses atau platform untuk memperkenalkan idea-idea baharu yang berpotensi mengubah landskap industri dan ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Melaka @UTeM Profesor Ts. Dr. Effendi Mohamad.
Menurut beliau, penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka juga bakal merancakkan lagi jaringan kerjasama antara pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha mencapai matlamat inovasi yang lebih besar serta bermakna.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.