TVET ‘KUNCI’ MASA DEPAN MELAKA

Masa Membaca:4 Minit, 55 Saat

BIDANG Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi tumpuan utama buat Kerajaan Melaka yang bertujuan mengubah landskap ekonomi negeri ke arah industri.

TVET bukan sahaja mendapat perhatian Kerajaan Melaka, malah turut menjadi agenda Kerajaan Persekutuan, yang mana dapat dilihat dalam Belanjawan 2025 yang dibentang oleh Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lepas menyaksikan peningkatan peruntukan bagi bidang TVET kepada RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion sebelum ini.

Secara dasarnya, TVET adalah bidang yang wajib diambil serius oleh kerajaan serta masyarakat amnya, memandangkan ekonomi global kini sudah terkehadapan di dalam industri teknologi teknikal dan vokasional.

PERANAN MAJLIS TVET NEGERI MELAKA

Kerajaan Melaka mengambil langkah segera dengan menubuhkan Majlis TVET Melaka pada tahun 2022 dan penubuhan tersebut amat penting bagi memperkasakan agenda TVET di negeri ini dengan lebih berkesan serta ke arah pembangunan modal insan berkemahiran tinggi menerusi proses pendidikan dan latihan yang menjurus ke arah pekerjaan dan menekankan amalan industri dalam pelbagai bidang berkaitan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang holistik dengan memiliki kompetensi dalam aspek teknikal, insaniah dan nilai sosial serta metodologi dan pembelajaran.

Majlis TVET Negeri Melaka dipantau sepenuhnya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memegang portfolio Pembangunan TVET negeri dan majlis itu dipengerusikan oleh Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Pihak Perbadanan Melaka (MCORP) turut berada di dalam Majlis TVET Melaka dan bertindak sebagai sekretariat.

MELAKA SERIUS PERKASA TVET

Majlis TVET Melaka mengumpulkan semua badan terlibat langsung di dalam TVET seperti agensi kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT), pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Baru-baru ini, pada 19 November 2024, telah berlangsungnya Bengkel Pemerkasaan Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis TVET Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh.

Dalam bengkel tersebut, Khaidhirah menekankan Kerajaan Negeri menerusi Majlis TVET Melaka mengambil beberapa pendekatan secara serius bagi memastikan pelaksanaan program untuk memperkasakan bidang itu memberikan impak seperti yang dimahukan.

Antara pendekatan tersebut ialah dengan mewujudkan tiga jawatankuasa teras bagi memastikan pembangunan TVET berjalan dengan lancar iaitu Jawatankuasa Induk, Jawatankuasa Kerja serta Jawatankuasa Pengurusan sebagai usaha memperkasakan bidang berkenaan.

“Sekretariatnya pula adalah pihak Unit Pembangunan Negeri (UPEN). Sementara itu Jawatankuasa Kerja di bawahnya iaitu Jawatankuasa Majlis TVET Melaka dipengerusikan saya sendiri dan sekretariatnya ialah daripada Perbadanan Melaka (MCORP).

“Seterusnya untuk Pengurusan akan ditubuhkan sebagai sekretariat yang akan bertanggungjawab selaku urusetia Penyelaras Program TVET Negeri Melaka bagi membantu melancarkan lagi proses pelaksanaan koordinasi dan implementasi agar lebih teratur, tersusun serta cekap,” katanya ketika berucap pada bengkel tersebut.

MELAKA JADI PUSAT TVET ARAS TINGGI

Malah Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah memilih Melaka sebagai salah sebuah pusat TVET Aras Tinggi atau Hi-TVET.

Ahmad Zahid memaklumkan bidang Hi-TVET itu telah dimulakan di Melaka melalui Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan memberi fokus kepada bidang kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan robotik.

Jelas beliau, UTeM telah menyelaraskan program itu bersama empat lagi universiti termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam memenuhi keperluan tenaga kerja dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) ke negara ini.

Selain bidang AI, IoT, robotik dan aeroangkasa, Hi-TVET juga memberi tumpuan terhadap bidang maritim dan rel kereta api yang mendapat permintaan tinggi dalam sudut tenaga kerja.

MENUJU NEGERI SEPARA INDUSTRI

Sememangnya kebolehpasaran graduan TVET amat diperlukan Negeri Melaka bagi memenuhi permintaan sumber manusia seiring dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk menuju ke arah negeri separa industri.

Ab Rauf dalam ucapannya dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET Peringkat DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Paya Rumput, Masjid Tanah pada 8 Jun lepas menjelaskan, sebagai sebuah negeri separa industri pada masa akan datang, pelbagai langkah awal telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan menarik minat pelajar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, bidang itu mampu memenuhi permintaan pekerjaan yang dibuka menerusi pelbagai sektor dari pelbagai industri yang beroperasi di negeri ini.

“Seperti dahulu negeri ini merupakan sebuah negeri pertanian dan akan menjadi sebagai sebuah negeri separa industri dan perkhidmatan.

“Perubahan ini memerlukan lebih ramai graduan mahir dan separa mahir dalam bidang TVET untuk ditempatkan dalam pelbagai peluang pekerjaan yang dibuka.

“Kerajaan Negeri sedang giat memperluas program TVET yang relevan dengan keperluan Revolusi Industri (IR) 4.0. Saya percaya, inisiatif Kerajaan Negeri menerusi pembangunan Malacca Center of Execellence oleh Majlis TVET Negeri Melaka pasti menjadi agenda utama dalam melengkapi ekosistem pelaburan untuk menampung keperluan tenaga mahir oleh pelabur sedia ada dan baharu pada masa akan datang,” katanya.

GTP MENDUKUNG AGENDA TVET MELAKA

Usaha Kerajaan Negeri memperkasa agenda TVET di peringkat modal insan terutamanya di dalam sektor pendidikan, sememangnya perlukan sokongan industri bagi memenuhkan ruang skop pekerjaan mengikut permintaan pemain industri dan tenaga kerja.

Justeru, pelaksanaan Taman Teknologi Jerman atau German Technology Park (GTP) yang dilaksanakan oleh MCORP sememangnya memainkan peranan penting bagi mendukung agenda TVET negeri apabila pembangunannya bakal membuka 10,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan.

Ab Rauf menyatakan beliau berkeyakinan tinggi, GTP akan bantu melonjakkan sektor industri berimpak tinggi di Negeri Melaka, selain membantu meningkatkan lagi kualiti pekerja mahir Melaka melalui pemindahan teknologi.

“Untuk itu, kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebagai institusi yang berteraskan pendidikan teknologi serta melahirkan pekerja mahir tempatan,” katanya ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MCORP dan MIDA serta lapan pemilik tanah bagi pembangunan GTP di sebuah hotel, di Kuala Lumpur, pada 22 Mac lepas.

Pembangunan infrastruktur GTP terletak di sebuah kawasan seluas 138.07 hektar (341.18 ekar) yang bakal dimajukan di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh.

Kawasan perindustrian baharu itu bakal menerapkan unsur Environmental, Social & Governance (ESG), Sustainable Development Goals & Green Building Index (GBI) dan dijangka siap serta dibuka untuk jualan pada 2026.

GTP juga memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyelidikan (R&D), jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

51
Kongsi :
Previous post AB RAUF DILANTIK IKON HASIL MELAKA
Next post CAR FREE ZONE@ALOR GAJAH SEMAKIN MENARIK
Ubah saiz-+=