PERKASA BUDAYA INOVASI DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 Disember – Penganjuran Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 menjadi platform buat rakyat Melaka untuk menampilkan idea dan rekaan berfaedah masing-masing kepada umum.

Penganjuran buat julung kalinya itu akan berlangsung di Kampus Teknologi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh, di sini, esok.

Timbalan Pengarah Bahagian Hubungan Industri Pusat Pengurusan Kolaborasi Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RICE) (UTeM), Ts. Dr. Rostam Affendi Hamzah berkata program itu akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, bertemakan ‘Pemerkasaan Budaya Inovasi Pemangkin Masyarakat’, program tersebut bakal menghimpunkan produk dan inovasi Melaka seterusnya membuka peluang penglibatan masyarakat secara holistik serta strategik.

“Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih dari 120 idea dan inovasi daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), agensi dan sekolah-sekolah sekitar Negeri Melaka.

“Terdapat sembilan kategori untuk IPT, Agensi dan empat kategori sekolah yang secara umumnya meliputi inovasi dalam teknologi elektrik, elektronik, mekanikal, pembuatan, automasi, peranti perubatan, serta inovasi sosial.

“Kerjasama erat antara agensi kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat menjadi elemen penting dalam memastikan kejayaan program ini.

“Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 diadakan dengan tujuan utama memperkasakan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat Melaka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Rostam berkata program tersebut bakal menjadi platform mempamerkan hasil inovasi selain menjadi ruang untuk ciptaan inovasi terbaik untuk ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 merupakan inisiatif strategik yang membawa harapan besar untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi di negeri ini.

“Program ini dijangka pencetus kepada transformasi teknologi dan inovasi yang bermanfaat kepada komuniti seterusnya menjadikan Melaka sebagai negeri maju menjelang 2035.

“Program ini selaras dengan Flagship 8 Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035), yang salah satunya memberi penekanan kepada teknologi dan inovasi sebagai asas kepada pembangunan negeri secara mampan dan kompetitif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post 1,675 PROJEK PEMBANGUNAN BERNILAI RM307 JUTA DILAKSANA DI MELAKA
Next post KESUNGGUHAN YB KURANGKAN RISIKO BANJIR LEGAKAN PENDUDUK
Ubah saiz-+=