KM PRIHATIN NASIB PESAKIT BUAH PINGGANG
AYER KEROH 3 Disember – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengarahkan setiap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini untuk menyediakan data pesakit buah pinggang yang sedang menjalani rawatan dialisis di kawasan masing-masing.
Ab Rauf berkata, data berkenaan akan menjadi panduan untuk beliau merangka satu dasar yang bertujuan untuk meringankan beban pesakit buah pinggang di Negeri Melaka.
Jelasnya, sempena pembentangan bajet tidak lama lagi, beliau amat menekankan hal kebajikan pesakit buah pinggang yang perlu menanggung kos yang tinggi setiap kali menjalani rawatan dialisis.
“Kos rawatan dialisis bukan murah, setiap kali rawatan sekurang-kurangnya memakan belanja RM200. Jika seminggu perlu buat rawatan tiga kali rawatan akan menelan kos RM600, jadi susulan itu Kerajaan Negeri mahu buat satu dasar bagi membantu meringankan beban mereka ini.
“Saya mohon maklum balas daripada Pengerusi JPKK dan Jumaat ini saya harap boleh dapat semua data mengenai pesakit sedang menjalani rawatan dialisis buah pinggang bagi seluruh Negeri Melaka. Jika sudah terima data yang lengkap, ia memudahkan saya untuk membuat satu dasar, mungkin akan dimasukkan dalam bajet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pembangunan Ahli Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka bagi sesi 2023-2025 dan Penyerahan Sijil Penubuhan Civil Defense Auxiliary Emergency Response Team (CDA-ERT) Negeri Melaka, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri; Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahin Mohamed.
Sementara itu, beliau turut menekankan betapa pentingnya peranan JPKK dalam membentuk masyarakat selain menjadi perantara berkesan antara Kerajaan Negeri dan rakyat amnya.
“JPKK memainkan peranan yang cukup penting sebagai badan perantara dan barisan hadapan menghubungkan penyampaian perkhidmatan dasar-dasar kerajaan serta masyarakat di peringkat akar umbi.
“Malah JPKK turut berperanan dalam mengatur dan menggerakkan aktiviti komuniti kampung membabitkan aspek pembangunan dan kesejahteraan kampung selain menjadi perantara menyalurkan permasalahan akan atau aduan kepada pihak-pihak berkuasa berkaitan,” tambahnya.
Dalam majlis tersebut turut menyaksikan seramai 4,505 orang ahli JPKK telah dilantik dan seramai 63 orang terdiri daripada anggota JPKK negeri ini telah tamat latihan bersama APM sekali gus terima Sijil Penubuhan CDA-ERT yang disampaikan sendiri oleh Ab Rauf.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.