LEBIH BANYAK RUMAH MAMPU MILIK AKAN DIBINA DI MELAKA
SERI NEGERI 3 Disember – Inisiatif menyediakan kediaman untuk rakyat negeri ini diteruskan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi perjanjian pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) yang dimeterai bersama TT Gratia Land Development Sdn Bhd.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu akan dilaksanakan di tapak berkeluasan 39.27 hektar di lot tanah PT 3556 Mukim Machap, Alor Gajah yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.
Ab Rauf berkata, menerusi perjanjian itu secara keseluruhan TT Gratia Land Development akan membangunkan sebanyak 998 unit kediaman.
“Antara komponen pembangunan projek ini adalah 100 unit atau 10 peratus Rumah Kos Rendah (RKR) dengan harga jualan RM70,000 seunit. Kedua pula 100 unit atau 10 peratus Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) dengan harga jualan RM120,000 seunit.
“Diikuti 80 peratus RMM jenis A atau 778 unit kediaman dengan harga jualan RM180,000 seunit dan 20 unit kedai pada harga jualan RM250,000 seunit,” kata Ketua Menteri pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara LPM dan TT Gratia Land Development di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin dan Pengarah Urusan TT Gratia Land Development, Datuk Dr. Tan Wei Joon.
Menurut beliau, pembangunan projek berkenaan akan dijalankan secara berperingkat membabitkan empat fasa yang mana fasa satu dan dua berjalan serentak, disusuli fasa tiga dan empat juga serentak.
“Kerja-kerja pembangunan bagi fasa tiga dan empat adalah dalam tempoh enam bulan dari tarikh siap fasa satu atau setelah pembangunan fasa dua mencapai jualan sehingga 40 peratus (mana-mana yang terdahulu). Ia juga perlu disiapkan dalam tempoh 24 bulan.
“Saya yakin, melalui projek pembangunan RMM ini, pastinya memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat Melaka sekali gus merancakkan lagi pembangunan RMM di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.