Lebihan hasil, bukti perbelanjaan berhemah – KM
AYER KEROH 10 Dis. – Prestasi perbelanjaan kerajaan negeri sehingga 7 Disember lalu mencatatkan sejumlah RM332.40 juta berbanding kutipan hasil sebenar RM340.96 juta.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, jumlah itu menunjukkan lebihan sejumlah RM8.56 juta.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri meneruskan perbelanjaan yang berhemah dan bukanlah perbelanjaan yang mewah.
“Kerajaan negeri menjangkakan kenaikan hasil utama adalah kutipan premium iaitu sejumlah RM140.55 juta, manakala sasaran hasil kerajaan negeri di bawah pembangunan koridor Melaka Waterfront Economic Zone (M-Wez) adalah sejumlah RM80 juta setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi menjawab perbahasan Datuk Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Seri Negeri, hari ini.
Jelasnya, selain itu kerajaan negeri juga menjangkakan kajian dan kutipan hasil daripada hasil bumi, laut, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta tambak laut.
“Kerajaan negeri tidak melaksanakan pembelian kenderaan baharu, namun menggantikan kenderaan secara kaedah sewaan yang mana perjanjian konsesi sewaan kenderaan kerajaan negeri telah tamat pada Jun hingga November 2020.
“Penyelarasan semula tempoh sewaan yang baharu dapat meneruskan kaedah perolehan sedia ada seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.