PRODUK INOVASI DARI MELAKA RAIH ANUGERAH EMAS
PAYA RUMPUT 29 November – Produk inovasi ‘Smart LPG Detector’ yang dihasilkan pasukan Kruss Makers Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong merangkul anugerah emas pada Pertandingan Inovasi TM Future Skills 2024 Peringkat Kebangsaan.
Pertandingan itu diadakan di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) Cyberjaya bermula 22 hingga 24 November lalu yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Guru Pembimbing Pasukan, B. Nathan berkata kejayaan itu sekali gus mencipta sejarah baharu buat SMK Krubong apabila berjaya menewaskan 30 pasukan lain, sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,000.
“Manakala saya pula menerima penghargaan tertinggi apabila dinobatkan sebagai ‘Best Mentor’ atas bimbingan cemerlang dan dedikasi dalam memupuk bakat inovasi dalam kalangan pelajar.
“Pencapaian ini bukan sahaja milik sekolah tetapi mewakili Negeri Melaka. Ini menunjukkan dengan usaha, komitmen dan bimbingan yang baik, pelajar mampu mencapai tahap yang tinggi dalam bidang inovasi,” katanya.
Katanya, kemenangan pasukan Kruss Makers bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dan Melaka, tetapi turut menjadi inspirasi kepada pelajar lain.
“Ini salah satu suntikan semangat kepada para pelajar supaya terus meneroka potensi dan bakat mereka dalam bidang teknologi dan inovasi,” katanya.
Pertandingan anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) itu bertujuan memupuk minat dan bakat dalam bidang teknologi, inovasi, dan kemahiran masa hadapan pelajar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.