Sorting by

×

WTD 2025 BAWA IMPAK BERGANDA UNTUK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 28 November – Kesemua empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sudah bersedia dan membuat persiapan awal sebelum tibanya acara pelancongan terbesar dunia, World Tourism Day 2025 (WTD 2025).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad berkata, bagi memastikan sambutan itu berjalan lancar, semua semua pihak termasuk kakitangan awam diharap dapat memberi kerjasama serta komitmen yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.

“Untuk kakitangan awam kita telah bersedia, terutamanya kesemua empat PBT di negeri ini, di mana persiapan sudah dilaksanakan sejak tahun ini lagi dan bukan (bermula) tahun hadapan.

“Ini dapat dilihat di sepanjang jalan sudah terdapat papan tanda dan slogan WTD 2025. Ini semua hasil cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan kita bersama melaksanakannya.

“Kerjasama dan komitmen yang tinggi dari semua termasuk menyokong hasrat Kerajaan Negeri ini, sekali gus dapat merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bil.9/2024, di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh.

Menurut Azhar, kehadiran lebih 150 Menteri Pelancongan dari seluruh dunia ke Melaka pada September depan bagi menghadiri acara perhimpunan pelancongan terbesar yang bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’ itu akan memberi kesan berganda kepada Melaka.

“WTD ini bukan sahaja akan memberi kesan signifikan kepada Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan tetapi juga Malaysia selain memberi ‘multiply impact’ yang amat tinggi.

“Kehadiran lebih 150 menteri pelancongan itu pastinya akan diiringi delegasi lain, contohnya seorang menteri akan datang bersama 10 pegawai lain dan setiap daripada mereka akan mempromosikan tempat-tempat menarik di media sosial ini secara langsung memberi kesan berlipat kali ganda.

“Justeru, saya berharap MBMB bersama PBT yang lain mula merancang dan membuat persiapan yang rapi bagi memastikan kebersihan, keceriaan dan keindahan Melaka berada di tahap yang tertinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

127
Kongsi :
Previous post SEDIA PERKHIDMATAN LIMA BINTANG UNTUK RAKYAT
Next post SUNTIKAN SEMANGAT UNTUK USAHAWAN MUDA MELAKA
Ubah saiz-+=