Alhamdulillah, terima kasih kerajaan negeri
TANJUNG BIDARA 10 Dis. – “Alhamdulillah, kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap nasib nelayan yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” kata Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka (PNM), Othman Ahmad.
Beliau berkata, seramai 1,100 nelayan berdaftar di negeri ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemimpin kerajaan negeri kerana sudi menghulurkan sumbangan RM2,000 melalui Belanjawan 2021 Negeri Melaka yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Othman berkata, sumbangan berkenaan amat dinanti-nantikan nelayan berikutan pelbagai masalah yang menghimpit kehidupan mereka, terutama pandemik COVID-19.
Beliau berkata, selain meringankan beban nelayan menjalani kehidupan dalam keadaan terpaksa bergelut dengan wabak berkenaan, sumbangan itu juga membolehkan mereka membuat persiapan sesi persekolahan anak masing-masing pada bulan hadapan.
“Alhamdulillah, sebelum ini tidak pernah berlaku dalam belanjawan negeri, ada peruntukan khas untuk membantu meringankan beban nelayan tetapi semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkannya.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap nasib nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Sulaiman semalam mengenai langkah kerajaan negeri menyediakan ‘pemberian sekali’ atau ‘one off’ sebanyak RM2,000 kepada pemilik perahu dan RM250 untuk awak-awak melalui belanjawan berkenaan.
Ia bakal memberi manfaat kepada 1,100 nelayan berdaftar di negeri ini, sekali gus meringankan beban mereka menghadapi COVID-19.
Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata beliau amat menyanjung tinggi budi kerajaan negeri memberikan sumbangan itu berikutan kesukaran yang dihadapi nelayan sejak pandemik berkenaan melanda negara pada Mac lalu.
“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu, nelayan tidak dibenarkan turun ke laut tetapi larangan itu dilonggarkan beberapa bulan selepas itu.
“Semasa tidak dapat turun ke laut, kami terpaksa menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan harian keluarga dan sekarang penderitaan kami itu diringankan dengan pemberian sumbangan itu,” katanya.
Awak-awak, Abdul Rahim Azali, 34, berkata pemberian itu amat menggembirakannya dan ia dimanfaatkan untuk perbelanjaan keluarganya.
“Terima kasih banyak saya ucapkan kepada kerajaan negeri kerana sudi membantu nelayan seperti kami dan kami menyanjung tinggi budi baik pemimpin,” katanya.
Beliau berkata, walaupun RM250 mungkin tidak bernilai bagi mereka yang berpendapatan tinggi, ia amat bermakna bagi nelayan sepertinya yang rezeki mereka tidak menentu.