ANGKA KORBAN AKIBAT LEMAS MERISAUKAN
AYER KEROH 26 November – Orang ramai dinasihat agar mengehadkan aktiviti riadah seperti berkelah atau sebarang bentuk sukan air susulan keadaan cuaca semasa yang tidak menentu.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, peringatan itu adalah susulan statistik kematian akibat lemas di Malaysia yang konsisten setiap tahun.
Ts. Nor Hisham, menyuarakan kerisauan apabila setiap tahun secara purata sebanyak 320 kematian akibat insiden lemas dilaporkan di seluruh negara.
“Tidak ada penurunan, sebaliknya angka korban konsisten meskipun pelbagai kaedah sudah dilaksanakan untuk mengelakkan insiden daripada berlaku termasuk menerusi aspek penguatkuasaan.
“Apa yang penting sekarang adalah kesedaran dalam diri sendiri perlu ada (bagi setiap orang). Selain setiap orang perlu tahu kemampuan diri sebelum terbabit secara langsung (dalam aktiviti air) seperti asas berenang,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri Tahun 2024, di Bukit Katil, hari ini.
Menurut Ts. Nor Hisham, dalam menangani kebimbangan itu, pihaknya turut memohon pengusaha industri yang berkait dengan aktiviti sukan air atau pemilik pusat peranginan agar turut bersama-sama memainkan peranan.
“Kita turut memohon supaya ada kompromi atau usaha daripada industri yang berkait dengan sungai atau jeram untuk bersama-sama melihat isu ini, mereka boleh beri nasihat berhubung keselamatan di air kepada pengunjung.
“Ini kerana pemilik atau pengusaha lebih faham mengenai persekitaran mereka. Malah, orang ramai juga diingatkan supaya dapat merancang percutian dan sekiranya amaran kuning sudah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dinasihatkan supaya tangguh percutian anda,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.