KEBERADAAN PENGUAT KUASA KPDN DIPERTINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

ALOR GAJAH 25 November – Keberadaan atau ‘omnipresence’ jentera penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di lapangan akan dipertingkatkan bermula Januari 2025.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia adalah strategi bagi memastikan aspek kawalan dan pemantauan diperkasakan termasuk melaksanakan tindakan susulan setiap aduan serta laporan diterima daripada pelbagai pihak.

“Strategi ‘omnipresence’ dirangka selaras dengan pelaksanaan ‘KITA GEMPUR’ yang menggembleng peranan empat komponen pemegang taruh iaitu (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi Awam dalam Gerakan Membanteras Manipulasi serta Ketirisan (GEMPUR).

“Melalui gerakan ini, dijangka jumlah aduan dan laporan akan semakin meningkat, sekali gus menuntut memperkasa keberadaan serta tindakan susulan para penguat kuasa KPDN di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di Kem Permata Resort di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam dan Pengarah KPDN Negeri Melaka Norena Jaafar.

Ujarnya, pelaksanaan strategi omnipresence ini akan memerlukan pertambahan jumlah pegawai dan anggota penguat kuasa di lapangan.

“Selain itu pertambahan implikasi kewangan lain meliputi aspek keperluan logistik, elaun tuntutan lebih masa dan elaun tuntutan perjalanan turut diperlukan.

“Pertambahan pegawai penguat kuasa KPDN akan meningkatkan kehadiran anggota penguat kuasa di pelbagai lokasi secara berterusan bagi memastikan kawalan dan pemantauan yang efektif,” katanya.

Terdahulu seramai 284 pegawai iaitu 244 pegawai lantikan baharu serta 40 pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) berjaya menamatkan latihan pada kursus kali ini.

Kadet-kadet ini terdiri daripada Pegawai Penguat Kuasa Gred KP41, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred KP29 dan Pembantu Penguat Kuasa Gred KP19.

Dengan pengisian perjawatan skim penguat kuasa KPDN melalui kursus itu, jumlah keseluruhan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN adalah seramai 2,464 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

48
Kongsi :
Previous post PELAJAR TINGKATAN LIMA MAUT, DUA LAGI CEDERA
Next post 604 DITAHAN, RM87.03 JUTA BARANGAN DIRAMPAS KPDN
Ubah saiz-+=