PERMOHONAN ANJUR BAZAR RAMADAN DITUTUP 15 DISEMBER DEPAN
PAYA RUMPUT 24 November – Permohonan menganjurkan bazar Ramadan tahun 2025 di kesemua empat Pihak Berkuasa tempatan (PBT) akan ditutup pada15 Disember depan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata keputusan terbaharu, kuantiti secara keseluruhan bazar yang akan dibuka di Melaka adalah selepas tarikh tutup permohonan nanti.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata kesemua empat PBT di Melaka telah membuka iklan kepada mana-mana penganjur berminat sejak bulan lepas.
“Saya yakin dan percaya bahawa kesemua empat PBT di Melaka termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sudah matang dalam penganjuran bazar serta pasar Ramadan di negeri ini.
“Semua PBT ini akan memastikan bazar dan pasar Ramadan tahun depan lebih menarik dengan pelbagai kelainan. Hal ini kerana Melaka antara negeri yang kedepan atau ‘advance’ dalam penganjuran bazar Ramadan di negara ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Peduli Ummah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dewan Bunga Tanjung, Tanjung Minyak, di sini, hari ini.
Hadir sama, Adun Pantai Kundor, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Adun Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata pada tahun hadapan juga satu bazar Ramadan ikonik bakal dibuka dalam kawasan Bandar Hilir.
“Bazar ikonik di Banda Hilir ini bakal menjadi satu lagi daya tarikan kepada pengunjung dan pelancong ke negeri ini,” katanya.
Sebelum ini Melaka Hari Ini melaporkan, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan bazar Ramadan ikonik tersebut dirancang akan dibangunkan di sepanjang laluan Tugu Peringatan Kemerdekaan sehingga ke tapak bangunan lama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir.
Apabila dibangunkan kelak, beliau berkata, kawasan itu bakal menjadi ikon bazar Ramadan di negara ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.