BANJIR DI SEKITAR BUKIT RAMBAI, PENDUDUK DAKWA AIR NAIK DENGAN PANTAS
Penduduk Mohd Firdaus Ab Shukor, 40, dari Taman Rambai Utama berkata telah dua kali banjir berlaku di taman perumahan berkenaan sejak dia berpindah ke sana pada 2019Â dengan kali pertama terjadi kira-kira tiga tahun lepas.
Firdaus berkata ketika kejadian itu, dia yang sedang bekerja, bergegas pulang selepas dimaklumkan oleh isteri mengenai keadaan dapur di rumah mereka yang dinaiki air sebelum bertindak menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen penting.
“Air mula naik kira-kira pukul 5 petang kelmarin iaitu separas lutut di luar kawasan rumah manakala di dalam rumah pula sedalam satu kaki.
“Disebabkan bimbang dengan keadaan keselamatan anak-anak yang masih kecil jika bermain air banjir, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada malam itu,” katanya kepada pemberita di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2 di sini hari ini.
Sementara itu, Rosnah Mamat, 61, juga dari Taman Rambai Utama berkata dia menjangkakan keadaan banjir itu selepas mendapati longkang di hadapan rumahnya mula dipenuhi air akibat hujan lebat selain kawasan rumahnya berhampiran sungai.
Rosnah yang tinggal seorang diri berasa amat bersyukur kerana mempunyai jiran-jiran yang prihatin dan membantunya berpindah ke kawasan lebih selamat.
“Air naik dengan cepat lebih kurang sejam sahaja, tetapi saya bersedia dengan apa-apa yang perlu kerana pengalaman pernah berdepan situasi sama beberapa tahun lepas.
“Setiap kali hujan lebat saya berasa bimbang sekiranya rumah dinaiki air terutamanya pada waktu malam dan perlu lebih berhati-hati… disebabkan sebelum ini pernah mengalami banjir yang agak teruk, saya tidak lagi membeli apa-apa perabot sejak kejadian itu,” katanya.
Dia juga berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam menangani masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.
Manakala Raudah Halimar, 48, dari Taman Rambai Jaya pula berkata air mulai memenuhi kawasan rumahnya separas lutut selepas hujan lebat berterusan selama dua jam.
“Syukur Alhamdulillah kerana semuanya selamat dan kami berterima kasih dengan semua pihak yang banyak membantu menyediakan keperluan kami di PPS,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.