PENANTIAN 16 TAHUN BERBALOI

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 22 November – Seorang guru lelaki memperoleh ‘durian runtuh’ apabila diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) yang ke-105, sekali gus membawa pulang wang berjumlah RM1 juta.

Guru Bahasa Arab, Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Perdana, Mohd Azraien Rajab, 47, berkata dia tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang cabutan selepas konsisten menyimpan menerusi skim itu sejak 2008.

Menurutnya, dia mula membuat tabungan dalam BSN SSP selepas melihat iklan kempen itu selain turut dimaklumkan oleh kakitangan bank mengenai faedahnya kepada penyimpan.

“Alhamdulillah, ternyata ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka kerana saya tidak pernah memenangi apa-apa walaupun hadiah sagu hati. Saya hanya mengetahui memenangi RM1 juta apabila dimaklumkan oleh rakan, malah dia turut menghantar pautan pengumuman Facebook Live berkenaan.

“Setiap bulan saya akan menambah tabungan sebanyak RM50, selain gaji juga masuk ke akaun BSN jadi itu memudahkan untuk meningkatkan simpanan,” katanya.

Mohd Azrien berkata, selain akan mengutamakan bayaran zakat, sedekah serta infaq, wang kemenangan itu juga akan digunakan untuk menunaikan ibadah haji.

“Selepas selesai bahagian sedekah dan zakat, saya akan simpan untuk menunaikan ibadah haji selain turut merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran di kampung halaman,” katanya.

Sementara itu, BSN memaklumkan setakat ini seramai 3.83 juta menyimpan menerusi BSN SSP dengan jumlah tabungan terkumpul RM5.46 bilion.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post GEDUNG LANDSKAP MPJ
Next post BANJIR MELAKA: 3 PPS DIBUKA, 54 MANGSA DIPINDAHKAN
Ubah saiz-+=