JPS PANTAU KAWASAN RENDAH, BERISIKO TERKESAN FENOMENA AIR PASANG BESAR
AYER KEROH 22 November – Pemantauan berterusan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka di lokasi berisiko tinggi dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar.
Pengarah JPS negeri, Ir. Ts. Dr. Muhammad Khairudin Khalil berkata, kejadian air pasang besar lazimnya sentiasa berlaku, namun JPS mengambil pendekatan proaktif dengan mendapatkan data-data paras air daripada Jabatan Laut sebagai rujukan sesuai konteks jabatan itu.
Katanya, penduduk kawasan rendah sepanjang persisir pantai Melaka, bermula dari kuala Sungai Linggi hingga Kuala Sungai Kesang, berisiko terjejas banjir setiap kali berlaku fenomena air pasang besar.
“Kebiasaan air pasang besar akan berlaku selama tiga hari dan bacaan paras tertinggi pernah direkodkan adalah setinggi 2.26 meter tahun ini berbanding 2.25 meter pada 2023. Pada kebiasaan akan berlaku limpahan menjejaskan kawasan rendah setiap kali air pasang besar, susulan itu kami bersama agensi berkaitan akan mengeluarkan peringatan kepada penduduk supaya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami sentiasa melaksanakan pemantauan di kawasan berisiko kerana antara cabaran kami adalah benteng yang dibina terhakis akibat air pasang besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dr. Muhammad Khairudin berkata, antara lokasi kerap berlaku fenomena air pasang besar adalah di Alai Perdana, Pantai Siring, Pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengkalan Balak dan Pantai Puteri.
“Sepanjang pantai ini memang ada banyak kawasan rendah, namun tidak bermakna tiada perlindungan dibuat untuk menangani masalah berlaku. Bagi lokasi berhampiran pantai kami membina ban pantai sebagai langkah pencegahan” katanya.
Jelasnya, bagi mengelak kawasan berisiko tinggi dan persisir pantai mengalami hakisan atau benteng dibina mengalami kerosakan, pihaknya akan melaksanakan tindakan segera bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
“Sama ada hasil pemantauan pegawai bertugas atau laporan orang awam, kami akan segera membuat pemeriksaan terhadap struktur dilaporkan runtuh atau mengalami hakisan. Susulan itu pembaikan juga akan dibuat secepat mungkin bagi mengelak kejadian lebih serius.
“Antara kerja pembaikan kami sedang laksanakan akibat air pasang besar adalah di Alai Perdana (Projek Fenomena Air Pasang) yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan Pantai Siring membabitkan kerja pembaikan ban pantai.
“Sementara itu Pantai Tanjung Bidara dan Pantai Pengkalan Balak yang dimasukkan di bawah projek kawalan hakisan pantai baru dimulakan pada awal tahun, manakala untuk Pantai Puteri ia sedang menunggu kelulusan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.