Sorting by

×

MASJID TANAH, MERLIMAU KAWASAN ‘KRITIKAL’ BANJIR

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 22 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka mengenal pasti sebanyak 124 lokasi kerap berlaku banjir di seluruh Melaka.

Pengarah JPS negeri, Ir. Ts. Dr. Muhammad Khairudin Khalil berkata, ia adalah berdasarkan kepada kekerapan banjir semasa hujan lebat sepanjang tempoh tiga tahun terkini.

Menurutnya, daripada 124 lokasi dikenal pasti itu, Melaka Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 59 kawasan, diikuti Jasin dengan 42 dan sebanyak 23 lagi di Alor Gajah.

“Lokasi disenaraikan ini adalah kawasan yang mengalami kekerapan banjir tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini, ia sama ada disebabkan banjir kilat atau limpahan air sungai.

“Namun begitu tidak semua 124 lokasi itu adalah berada bawah pentadbiran JPS, ia terbahagi juga kepada beberapa agensi lain termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya kepada pemberita.

Dr. Muhammad Khairudin berkata, Masjid Tanah dan Merlimau antara dua lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan kritikal berdasarkan kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Melihat kepada kawasan yang kritikal dilanda banjir baru-baru ini iaitu pada Ogos dan September lalu antaranya adalah di Masjid Tanah serta Merlimau.

“Seperti Masjid Tanah, keadaan banjir ketika itu luar biasa apabila berlaku pertembungan antaranya air pasang besar dan taburan hujan lebat.

“Sejurus selepas banjir surut di Masjid Tanah kita telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pemuliharaan sungai termasuk kolam takungan.

“Malah dengan bantuan agensi lain termasuklah PBT kita turut melaksanakan kerja pembersihan di laluan-laluan saliran sungai yang masuk ke laluan utama dan menemui banyak sisa sampah seperti pokok, dahan serta plastik sampah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Khairudin berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka amat komited serta serius dalam menangani bencana banjir dengan melaksanakan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) membabitkan peruntukan berjumlah RM1.006 bilion.

“Secara umumnya JPS, kita sentiasa bersedia menghadapi bencana banjir sama ada akibat hujan lebat, limpahan air sungai mahupun peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

“Fokus JPS bukan hanya melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan kolam takungan atau saliran sungai, tetapi juga menyelenggara Siren Telemetri serta Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional.

“Malah kita turut melakukan hebahan dengan mengemaskini status hujan dan air pasang kepada orang awam khususnya penduduk di pinggir pantai dan muara sungai supaya mereka dapat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan akibat cuaca buruk.

“Orang ramai boleh mendapatkan status terkini perkembangan ramalan cuaca menerusi MyPublic InfoBanjir,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

192
Kongsi :
Previous post ‘PHOTOBOOTH’ UNTUK GENG RXZ DI DATARAN KERIS, PANTAI PENGKALAN BALAK
Next post JPS PANTAU KAWASAN RENDAH, BERISIKO TERKESAN FENOMENA AIR PASANG BESAR
Ubah saiz-+=