MPAG TAMBAH BAIK FASILITI EKOPELANCONGAN PAYA LEBAR
AYER LIMAU 20 November – Fasiliti Ekopelancongan Paya Lebar akan ditambah baik oleh pihak Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bagi memberi keselesaan kepada pelancong dan pengunjung.
Yang Dipertua MPAG TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, antara penambahbaikan yang dicadang adalah menyediakan perancangan dan komponen baharu bagi kelancaran operasi pusat tarikan pelancong yang terletak di kawasan utara Negeri Melaka itu melalui Cadangan Penambahbaikan komponen fasa 2.
Menurut beliau, bagi merealisasikan perancangan tersebut, satu lawatan kerja telah diadakan oleh Jabatan Dalaman MPAG yang disertai Pengarah, pegawai jabatan/unit bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris, baru-baru ini.
“Lawatan ini bertujuan untuk bertukar pandangan antara MPAG dan PPSPM dalam menambahbaik kelancaran pengoperasian Eco Cruise Sungai Linggi ini.
“Antara perancangan dan komponen baharu yang telah dirangka adalah membabitkan kaunter tiket, tambahan tapak kenderaan rekreasi atau Recreational Vehicle (RV), laluan pejalan kaki (walkway) dan surau.
“Selain itu, ia juga membabitkan pembinaan gerai jualan dan ruang informasi untuk pengunjung dan pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, dalam lawatan kerja itu, kesemua yang terlibat telah dibawa menelusuri Ekopelancongan Paya Lebar, membabitkan beberapa persinggahan antaranya restoran terapung, Taman Lokan dan Sabak Arang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.