DUA PORT BERGAMBAR DI AYER KEROH UNTUK GENG RXZ
AYER KEROH 20 November – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyediakan dua platform bergambar bagi menyambut ketibaan peminat motosikal Yamaha RXZ pada 6 dan 7 Disember depan.
Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata dua lokasi tersebut adalah di Pintu Gerbang Ayer Keroh dan Leypark Station Dataran Sejarah Ayer Keroh.
“Kita sudah membuat tempahan dan dekorasi untuk dua lokasi bergambar ini, tiada tema khusus yang ditetapkan, platform tersebut akan ditulis ‘ride on’ bagi menambah kemeriahan program ini.
“Sekarang ini kita sedang tunggu proses untuk siapkan tempahan tersebut, apabila siap ia akan diletakkan di lokasi berkenaan.
“Nanti apabila peserta RXZ Members memasuki Tol Ayer Keroh, mereka boleh singgah terus di lokasi bergambar yang disediakan sebelum meneruskan perjalanan ke tapak program,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Sapiah, inisiatif itu disediakan bagi menyambut ketibaan kira-kira 40,000 peminat motosikal berkenaan yang akan berhimpun di Dataran MITC, Ayer Keroh sempena perhimpunan Ride Edition RXZ Members Melaka Chapter 2024.
Terdahulu Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan sebuah kereta Proton X50 serta motosikal Yamaha RXZ Klasik dan Yamaha Y15 disediakan khas untuk program tersebut dalam merancakkan lagi kalender pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di penghujung tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.