MEDIA BANTU SEBARKAN FUNGSI, PERANAN APM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 19 November – Peranan media menjadi platform penting dalam menyebarkan fungsi dan tugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bukan sahaja meliputi operasi penyelamatan malah turut memberi latihan keselamatan dan pertahanan awam kepada masyarakat.

Ketua Pengarah APM Negeri Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata komitmen dan profesionalisme ditunjukkan pengamal media dalam memberikan liputan serta laporan terhadap agensi berkenaan turut memberi manfaat kepada masyarakat yang sesetengah mereka tidak tahu tugas dan tanggungjawab APM.

Katanya, selama ini masih ramai yang tidak tahu peranan sebenar APM berikutan hanya melibatkan agensi itu dengan operasi penyelamatan seperti memusnahkan sarang tebuan atau menyelamat mangsa ketika musim banjir.

“Namun, hakikatnya peranan dan fungsi dimainkan oleh APM sangat besar demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di negara ini.

“Selain melatih seramai mungkin rakyat dalam aspek keselamatan dan pertahanan awam semasa aman, APM juga berperanan melakukan kerja bantuan bencana atau memberi perlindungan bagi menjamin keselamatan nyawa, harta benda sekiranya berlaku bencana.

“Terima kasih kepada pihak media yang sentiasa membantu kami dalam menyampaikan peranan- peranan tersebut kepada orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bersama Media dan Kontinjen Himputan Pertahanan Awam (HiPA) APM Negeri Melaka Tahun 2024 di Dewan Serbaguna Kompleks Dalam Negeri (KDN), di sini.

Whatsapp Image 2024 11 19 At 3.16.24 Pm
KAMARULSYAH (tiga dari kiri hadapan) bersama pengamal media Melaka.

Pada program berkenaan, Kamarulsyah menyampaikan sijil penghargaan kepada 13 agensi media termasuk Melaka Hari Ini.

Turut diadakan, majlis penyampaian sijil penghargaan kepada Kadet Sekolah Pertahanan Awam Malaysia (Kaspa) kepada sekolah-sekolah di negeri Melaka selain penyampaian sijil penyertaan kepada peserta HiPA Peringkat Zon Selatan 2024.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

77
Kongsi :
Previous post LEBIH 15,000 INDIVIDU BEKERJA SENDIRI DI MELAKA CARUM SKSPS
Ubah saiz-+=