100 USAHAWAN MHH MERIAHKAN FESTIVAL HALAL ANTARABANGSA MELAKA
SERKAM 20 November – Sebanyak 100 usahawan tempatan yang berpusat di Melaka Halal Hub (MHH) Serkam akan mengambil bahagian pada Melaka International Halal Festival 2024 (MIHF’24) dijadualkan Disember ini.
Pengurus Besar MHH Sdn Bhd, Azmi A. Rahman berkata kesemua usahawan tersebut merupakan pemain industri halal yang aktif beroperasi di MHH.
Katanya, penganjuran karnival tersebut adalah tepat pada masanya dan bakal memberi impak positif buat usahawan produk halal dengan membuka jalan buat mereka memperluaskan lagi jaringan perniagaan.
“Festival halal (MIHF’24) ini adalah tepat pada masanya dan perlu diadakan bagi membantu usahawan terutamanya yang mengeluarkan produk-produk halal di Melaka.
“Secara langsungnya, MHH terlibat kerana kami ada 100 usahawan yang bernaung di kompleks MHH di Serkam ini dan saya berpandangan festival ini akan menarik ramai pengunjung serta pelancong dari luar Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” jelasnya ketika ditemui Melaka Hari Ini di pejabat urusannya di Serkam.
Menurutnya MHH bersama Perbadanan Melaka (MCORP) akan berperanan sebagai pempamer dan kehadiran lebih 100 usahawan seliaan mereka diyakini akan memeriahkan lagi penganjuran MIHF’24.
“MHH berperanan sebagai antara pempamer di karnival tersebut bersama-sama dengan MCORP dan pada masa sama, kami akan meraikan usahawan-usahawan produk halal bagi meningkatkan hasil jualan mereka.
“Impaknya adalah pada hasil usahawan di bawah MHH mempromosikan produk halal mereka. MHH selaku rakan kongsi karnival tersebut, akan terus menyokong dan kami akan punyai satu pavilion yang besar, tertakluk kepada keputusan MCORP,” tambahnya.
Festival dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 Disember ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) adalah platform terbaik buat para usahawan, pelabur dan pemain industri halal untuk berkongsi pengetahuan, membina jaringan, sekali gus meneroka peluang perniagaan baharu yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.