Calon pengarah MSN Melaka sudah dikenal pasti

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Calon bagi memegang jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka dijangka akan dimuktamadkan sedikit masa lagi.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pihaknya kini sudah mengenal pasti beberapa calon yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang sukan dan memegang ijazah dalam Sains Sukan yang mana pihaknya sedang dalam usaha mendapat kelulusan Pejabat Ketua Menteri sebelum membawanya ke pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk diluluskan.

“Sebelum ini kita sudah ada nama selepas Pengarah terdahulu ditukarkan pada awal April. Namun, calon yang telah diajukan ke pihak JPA itu tidak mendapat kelulusan memandangkan JPA berkehendakkan individu lebih berpengalaman dalam bidang sukan dan mempunyai kelulusan dalam bidang Sains Sukan.

“Jadi, untuk itu, kita sudah kenal pasti beberapa calon yang terbaik sama ada dari kakitangan kerajaan atau luar kerajaan. Kita kini hanya menunggu kelulusan daripada Pejabat Ketua Menteri sebelum dibawa ke JPA.

“Meskipun dalam tempoh yang panjang, kita tidak mempunyai pengarah Majlis Sukan Negeri, namun, pemangku jawatan tersebut, Tan Gek Chu sudah tugas dengan baik untuk kemajuan sukan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) berhubung pengosongan jawatan terbabit yang tidak diisi sejak April lalu sehingga kini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perbelanjaan MSN Melaka pada 2020, Mohd Rafiq memaklumkan perbelanjaan keseluruhan ialah sebanyak RM1.6 juta membabitkan pecahan bantuan kepada persatuan sukan, elaun jurulatih dan atlet bagi SUKMA, program pembangunan sukan negeri serta operasi dan pentadbiran.

Jelasnya, pihak menjangkakan jumlah yang sama juga akan dibelanjakan untuk tahun 2021.

Views:

2297
Kongsi :
Previous post RM6,000 untuk bayi bertuah
Next post Kes denggi di Melaka meningkat
Ubah saiz-+=