Kes denggi di Melaka meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

 

AYER KEROH 10 Dis. – Kes denggi di negeri ini menunjukkan peningkatan sebanyak 34.85 peratus atau 2,720 kes sehingga 5 Disember tahun ini berbanding 2,017 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pada minggu ini juga terdapat peningkatan sebanyak 16 kes denggi.

“Manakala, sebanyak lapan kes kematian demam denggi direkodkan di mana empat kes di Melaka Tengah iaitu DUN Ayer Molek, DUN Kota Laksamana, DUN Duyong dan DUN Telok Mas.

“Diikuti dua kes denggi masing-masing di Daerah Alor Gajah dan Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Tey Kok Kiew (DAP- Banda Hilir) mengenai jumlah kes denggi di Melaka pada hari kedua Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke- 14 di Seri Negeri, hari ini.

Jelasnya, DUN yang mencatatkan kes tertinggi adalah di Bukit Katil sebanyak 305 kes diikuti Ayer Keroh (270 kes) dan Paya Rumput (232 kes).

“Kajian kawalan teknologi pencegahan denggi menggunakan sinaran gamma untuk memandulkan nyamuk jantan Aedes dikakukan dan lokasi awal kajian adalah di Kota Laksamana.

“Kota Laksamana lokasi awal kajiian yang melepaskan nyamuk mandul ini, setakat ini tiada kes demam denggi dilaporkan dalam kawasan lokaliti kajian itu,” katanya.

Dalam pada itu Rahmad berkata sebanyak 43 kes chikungunya dilaporkan di negeri ini 39 kes di Melaka Tengah dan masing-masing dua kes di Daerah Jasin dan Alor Gajah, manakala tiada kes virus zika dilaporkan setakat ini.

 

 

Views:

836
Kongsi :
Previous post Calon pengarah MSN Melaka sudah dikenal pasti
Next post Sebut harga projek Air Panas Gadek awal tahun depan
Ubah saiz-+=