PENGURUS KILANG DIKHUATIRI LEMAS DI SUNGAI PENGKALAN
ALOR GAJAH 17 November – Seorang pengurus kilang dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan, ketika berhenti di Tandas Awam, Taman Reakreasi Sri Sutera, di sini, awal pagi tadi.
Lelaki warga emas berusia 61 tahun itu disyaki lemas selepas pihak bomba menemui selipar miliknya di tebing sungai terbabit.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira jam 5.39 pagi sebelum sebelum dua jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Ayer Keroh ke lokasi kejadian.
Katanya, pada awalnya pihak bomba dimaklumkan lelaki terbabit terkunci di tandas namun selepas melihat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik keretanya yang diparkir berhampiran tandas, warga emas terbabit tidak masuk ke tandas kerana berkunci.
“Selain itu juga, barangan peribadi milik mangsa ada ditemui berada di dalam kereta.
“Justeru itu, pencarian di kawasan sekitar dilakukan pasukan bomba sebelum menemui selipar milik mangsa di tebing sungai dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan,” katanya.
“Usaha pencarian masih diteruskan selain unit anjing pengesan juga sudah dihubungi bagi membantu mengesan mangsa,” katanya.
Sementara itu, anak saudara mangsa ingin dikenali sebagai Abdul Haafith, 25, berkata, ketika kejadian bapa saudaranya yang menetap di Shah Alam, Selangor, itu, dari rumah di Machap dan dalam perjalanan untuk membeli makanan.
“Kira-kira jam 4.50 pagi saya menerima panggilan daripada mak cik yang memaklumkan suaminya masih belum pulang selepas keluar membeli makanan kira-kira jam 1.50 pagi dan mengajak saya untuk mencarinya.
“Selain mencari di kedai mamak, kami turut ke hospital namun tidak menjumpai sebelum keretanya dijumpai berhampiran tandas awam terbabit namun kelibat pak cik tiada di sekitar itu,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi talian
kecemasan bagi meminta bantuan kerana khuatir bapa saudaranya itu terperangkap di dalam tandas tetapi sejurus pasukan bomba membuka pintu tandas warga emas terbabit tiada di dalam.
“Menerusi ‘dashcam’ nampak kelibat pak cik mundar-mandir di hadapan tandas selain dimaklumkan juga pak cik ada memberitahu dia mengalami cirit birit dan sakit kepala.
“Mungkin dalam perjalanan untuk membeli makan dia tiba-tiba sakit perut dan ingin ke tandas tetapi pintu berkunci,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.