LATIHAN PERCUBAAN PLKN 3.0 BERMULA JAN 2025 – ADLY
Beliau berkata latihan bertempat di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dengan permohonan boleh dilakukan di laman sesawang Kementerian Pertahanan, www.mod.gov.my sehingga 23 Nov ini.
“Melalui Latihan Percubaan PLKN, kita dapat pastikan persediaan untuk sesi sebenar pada Jun 2025 benar-benar pada tahap 100 peratus dengan masih ada ruang untuk penambahbaikan modul dan latihan mana yang perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pemerkasaan Usahawan Veteran (PUVET) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Sembilan dan menyampaikan geran inisiatif kepada 13 veteran ATM di sini hari ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilaporkan berkata PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan format baharu bermula Jun atau Julai 2025 dengan terbahagi kepada Fasa Pra PLKN melibatkan pelajar tingkatan empat yang akan dilaksanakan di sekolah ketika kegiatan kokurikulum dan Fasa PLKN Asas melibatkan remaja 17 tahun dan ke atas.
Khaled berkata Fasa PLKN Asas yang menerapkan 30 peratus modul asas kenegaraan dan 70 peratus latihan ketenteraan, dijangka dilaksanakan bermula April 2026 di 13 kem Askar Wataniah, 20 universiti awam dan beberapa politeknik terpilih seluruh negara.
Sementara itu, Adly berkata menerusi inisiatif PUVET ATM, sebanyak 216 veteran ATM menerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) berjumlah RM1.08 juta sejak ia dilaksanakan tahun lepas dengan geran program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu berupaya meningkatkan produktiviti dan meluaskan lagi pasaran produk veteran.
Beliau turut berharap lebih banyak kementerian, agensi dan syarikat swasta terlibat dalam PUVET ATM melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bagi memastikan segala insentif keusahawanan disalurkan dengan lebih bersasar kepada veteran tentera.
“PERHEBAT akan memberi latihan kepada veteran termasuk dalam bidang pertanian dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Malah, terbaharu kita berjumpa dengan PLUS Malaysia Berhad bagi bidang keusahawanan. Kita lihat potensi mana-mana koperasi veteran ATM yang berdaya saing untuk tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama dengan syarikat itu tidak terhad kepada perniagaan di stesen minyak, tetapi melibatkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), sekali gus memasarkan lebih banyak produk keluaran veteran ATM.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.