MELAKA MOHON ZON MERAH BANJIR DIBERI PERHATIAN SEGERA
ALOR GAJAH 16 November – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memohon Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) agar memberi perhatian segera kepada Zon Merah Banjir di Melaka.
Katanya, fenomena hujan berlebihan menyebabkan banjir berlaku tanpa sebarang amaran, sekali gus menjejaskan kawasan yang dikategorikan sebagai Zon Merah Banjir di negeri ini.
“Melaka juga tidak dapat lari daripada masalah asas jika berlaku hujan berlebihan, kebanyakan kawasan rendah di negeri ini akan ditenggelami air, jadi memerlukan penyelesaian segera.
“Bagi kawasan Masjid Tanah Ria umpamanya, lebih kurang 2,000 penduduk terjejas kerana banjir sekarang ini tiada amaran.
“Kita minta kepada PETRA supaya melihat kawasan-kawasan yang dianggap sebagai Zon Merah Banjir ini diberikan perhatian. Saya akan serahkan permohonan ini kepada Menteri PETRA yang juga Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk diberikan perhatian segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Serahan Projek Siap Kepada Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Bougainvilla, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri PETRA; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA Datuk Mohd Rodzman Mohd Baba Sakri dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Ts. Muhammad Khairudin Khalil.
Sementara itu, lima projek JPS tersebut melibatkan Projek Pemulihan Muara-Muara Sungai Di Negeri Melaka iaitu Muara Sungai Baru dan Sungai Punggor, manakala satu Projek Mencegah Hakisan Pantai di Telok Gong, Projek Pembinaan Stesen Hidrologi Telemetri dan kerja-kerja berkaitan untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2 dan kerja-kerja pemasangan dan naiktaraf peralatan mekanikal dan elektrik bagi Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional (RHN) serta kerja-kerja yang berkaitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.