PERUNTUKAN LEBIH RM1 BILION BINA 7 RTB DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 16 November – Sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sedang dibina di Negeri Melaka dengan peruntukan lebih RM1 bilion.

Timbalan Perdana Menteri II yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, salah satu daripada tujuh projek tersebut ialah Projek RTB Alor Gajah, Fasa 1 Daerah Alor Gajah di Kampung Tebat yang mana membabitkan peruntukan RM30 juta.

Katanya, Projek RTB Alor Gajah, Fasa 1 Daerah Alor Gajah di Kampung Tebat meliputi pelbagai aspek seperti pembinaan kolam takungan banjir serta aliran air ke sungai.

“Projek RTB di Alor Gajah ini misalnya, membabitkan beberapa skop seperti membina kolam takungan banjir dan aliran air bagi memudahkan aliran air ke sungai, kemudian juga ada benteng-benteng yang akan dibina untuk mencegah kawasan rendah daripada limpahan air.

“Apabila siap nanti, insya-Allah dapat memberi perlindungan kepada 1,270 penduduk sekitar daripada risiko banjir, ini adalah berdasarkan kajian yang kita buat.

“Ada tujuh projek RTB di Negeri Melaka sedang berjalan, keseluruhannya jika daripada segi nilai lebih RM1 bilion,” katanya selepas meninjau projek berkenaan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sini, hari ini.

Jelasnya, Projek RTB Alor Gajah, Fasa 1 Daerah Alor Gajah di Kampung Tebat bermula pada 16 Ogos 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2025.

Untuk rekod, enam lagi projek RTB di Melaka babitkan Sungai Melaka Fasa 1 di Durian Tunggal membabitkan kos RM40 juta; Projek Menaiktaraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai Kolam Dwi Fungsi untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Melaka (RM603 juta), RTB Sungai Duyong (RM163.8 juta), RTB Bandar Merlimau (RM36 juta); RTB Bandar Jasin (RM60 juta) dan RTB Sungai Putat (RM72.83 juta).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post LIMA PROJEK SELIAAN PETRA BERI MANFAAT BESAR KEPADA MELAKA
Next post MELAKA MOHON ZON MERAH BANJIR DIBERI PERHATIAN SEGERA
Ubah saiz-+=