Sorting by

×

Melaka kaji cadangan lantik syarikat konsesi urus penyelenggaraan jalan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 10 Dis. – Kerajaan negeri sedia mengkaji cadangan untuk melantik syarikat konsesi menguruskan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Datuk Roslan Ahmad berkata, perkara itu bagaimanapun perlu diteliti secara lebih mendalam dan pada masa sama perlu meneliti kaedah terbaik bagi memastikan kesemua kontraktor di negeri dapat merasa faedahnya.

Jelasnya, buat masa ini, pihaknya masih mengamalkan kaedah secara sebut harga bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan, sekali gus menepis dakwaan kononnya kaedah melantik syarikat konsesi sudah diamalkan sejak Perikatan Nasional (PN) memimpin Negeri Melaka.

“Untuk makluman pada tahun 2020, sebanyak 330 kerja penyelenggaraan telah dikeluarkan secara sebut harga oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka. Ia merangkumi kategori G1, G2 dan G3 melibatkan kerja pembaikan jalan, bangunan dan sebahagian mekanikal dan elektrik.

“Namun, pada masa sama kita tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan kaedah melantik syarikat konsesi di masa akan datang demi kebaikan sama ada di peringkat kerajaan negeri melalui anak syarikatnya atau kepada kontraktor itu sendiri.

“Konsesi ini bukan asing lagi kerana ada beberapa sudah amalkan kaedah itu untuk penyelenggaraan jalan negeri, antaranya Johor, Pahang, Perak dan kini Selangor. Jadi kita di Melaka mengambil pendekatan terbuka. Sekiranya ada keperluan lebih baik konsesi dilaksanakan, kita akan laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab (AMANAH-Durian Tunggal) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14, sebentar tadi.

Dalam pada itu mengulas soalan tambahan yang dibangkitkan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), sama ada bakal mempertimbangkan kaedah cabutan undi seperti yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan, Roslan berkata perkara itu boleh dipertimbangkan sekiranya ada keperluan di masa akan datang.

“Diikutkan proses cabut undi juga mempunyai kelemahan dan boleh dipertikaikan. Perkara ini dibangkitkan sendiri persatuan kontraktor dalam perbincangan yang diadakan.

“Apa yang penting, lebih banyak kajian perlu kita lakukan dan kita beriltizam untuk mencari kaedah terbaik untuk kerja-kerja ini yang boleh memberi manfaat kepada semua,” katanya lagi.

Views:

2098
Kongsi :
Previous post Melaka berjaya kurangkan hutang RM178j kepada kerajaan Pusat
Next post RM6,000 untuk bayi bertuah
Ubah saiz-+=