NGO JADI SALURAN HEBAHAN AGENDA PEMBANGUNAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 15 November – Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Melaka perlu lebih efektif dan menjadi satu bentuk saluran berkesan dalam membantu menguar-uarkan agenda pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peranana NGO amat penting dalam memberikan kefahaman kepada rakyat mengenai perancangan Kerajaan Negeri yang kini sedang giat melaksanakan pembangunan ekonomi membabitkan perindustrian serta pelancongan.

“Kerajaan Negeri melakarkan satu ‘master plan’ untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang hebat dalam sektor pelancongan dan juga pelaburan. Melaka bakal menjadi destinasi pilihan pelabur dan pelancong antarabangsa.

“Berikutan itu NGO boleh memainkan peranan dengan menguar-uarkan kepada rakyat mengenai hasrat Kerajaan Negeri ini menggunakan medium yang mereka miliki,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Majlis Serah Terima Instrumen MoU Rakan Strategik Majlis Hal Ehwal Wanita & Keluarga Malaysia, Negeri Melaka di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, semalam.

Hadir sama Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA); Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka (BISTARI); Datin Seri Utama Zuriyah Abd Aziz dan Penyelaras HAWA Melaka; Datuk Haryaty Hamdzah.

Pada 2025 Melaka akan menjadi tumpuan dunia apabila diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran World Tourism Day (WTD), susulan itu Ketua Menteri berharap HAWA dapat menjalinkan kerjasama dengan NGO lain di negeri ini dalam menjayakan program bertaraf dunia tersebut.

“Melalui WTD pada tahun hadapan akan menyaksikan Melaka berada dalam peta pelancongan dunia, negeri ini diletakkan sebagai pilihan utama bagi pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

“Saya mohon wakil-wakil yang ada dapat menyalurkan kepada semua NGO sedang menjalankan kerjasama dengan HAWA bahawa inisiatif yang dibawa Kerajaan Negeri ini membawa kelestarian kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Shahrizat menyambut baik saranan Ab Rauf yang meminta HAWA bersama-sama NGO lain di negeri ini bagi bersama-sama mempromosikan agenda pelancongan Melaka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka kerana memberi pengiktirafan kepada HAWA Malaysia melalui HAWA Melaka dan beliau meminta HAWA mengetuai beberapa NGO di negeri ini dalam menjayakan agenda pelancongan.

“Kami mengambil berat amanah yang diberikan ini dan akan menjayakannya terutamanya dalam merakyatkan semua program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 17 NGO terlibat dalam serah terima Instrumen MoU Rakan Strategik Majlis Hal Ehwal Wanita & Keluarga Malaysia, Negeri Melaka dengan HAWA negeri yang diwakili Haryaty sambil disaksikan Ab Rauf dan Shahrizat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

71
Kongsi :
Previous post SENTUHAN KASIH 562 CALON SPM, STPM MELAKA
Next post UPTOWN PAYA RUMPUT LAIN DARI YANG LAIN
Ubah saiz-+=