MELAKA SEDIA PLATFORM BERGAMBAR UNTUK KENANGAN RXZ MEMBERS

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 15 November – Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan menyediakan platform bergambar di beberapa lokasi ikonik di setiap daerah dalam negeri ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata platform itu disediakan khas untuk menyambut peminat motosikal RXZ yang bakal berkampung di Melaka pada 6 dan 7 Disember depan.

Beliau yang juga Pengerusi Teknikal Penganjuran Ride Edition RXZ Members Melaka Chapter 2024 berkata, setiap PBT di negeri ini telah diarahkan untuk menyediakan platform bergambar di setiap lokasi berlatar belakangkan bangunan bersejarah atau menggambarkan mercu tanda Negeri Melaka.

“Di pihak MBMB, kita akan meletakkan tiga platform di tiga lokasi iaitu di hadapan Uptown Klebang; di belakang Bangunan A’Famosa dan Dataran MBMB Ayer Keroh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shadan berkata langkah menyiapkan platform bergambar itu sebagai usaha menyantuni peminat dua roda yang dianggarkan lebih 40,000 orang akan berhimpun di Dataran MITC, Ayer Keroh.

Jelasnya, usaha itu memastikan mereka yang terlibat dalam acara himpunan motosikal terbesar itu dapat merakamkan kenangan indah di Melaka, seterusnya merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Sudah pasti ada di antara mereka peserta perhimpunan RXZ ini akan menginap di inap-inap desa, hotel dan resort di sekitar negeri ini meliputi tiga daerah.

“Ada di antara mereka akan masuk ke negeri ini dari pintu masuk di Sungai Rambai, Simpang Ampat dan Tol Ayer Keroh, jadi kita menyambut mereka ini dengan menyediakan platform bergambar kenangan untuk menjadi kenangan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron memaklumkan, di kawasan pentadbirannya platform bergambar itu akan diletakkan di kawasan pintu gerbang Hentian Rehat Ayer Keroh dan Dataran Sejarah Ayer Keroh berhampiran Leypak Station.

Manakala, menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim, di Alor Gajah pula, platform berkenaan akan menghiasi Dataran Keris.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post UPTOWN PAYA RUMPUT LAIN DARI YANG LAIN
Next post TANDAS AWAM ELEGAN DI WATERFRONT JASIN
Ubah saiz-+=