NAIKKAN ARAS JALAN ATASI BANJIR KILAT DI LEBUH AYER KEROH
KLEBANG 15 November – Menaikkan aras jalan antara penyelesaian jangka panjang dikenal pasti Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka dalam menangani masalah banjir kilat di Lebuh Ayer Keroh.
Pengarah JKR Negeri Melaka Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata, kawasan itu dikenal pasti sebagai lokasi banjir kilat setiap kali hujan lebat kerana aras jalan sedia ada agak rendah.
“Bagi mengatasi masalah ini dalam jangka masa yang panjang, kita mohon untuk menaikkan aras jalan berkenaan.
“Kedudukan sekarang agak rendah dan perancangan kita adalah untuk menaikkan kepada kira-kira satu meter daripada aras sekarang ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Pembukaan Susur Persimpangan Bulatan Klebang yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong, semalam.
Menurut Mohamad Salzeli, kerja-kerja menaikkan aras jalan di Lebuh Ayer Keroh itu memerlukan kos yang besar memandangkan ia memerlukan kerja-kerja mengalihkan utiliti.
“Sebenarnya di peringkat negeri, permohonan sudah dibuat kepada Ibu Pejabat JKR membabitkan kos RM10 juta bagi menjalankan kerja naik taraf ini untuk elak daripada banjir.
“Namun permohonan itu tidak berjaya tetapi kita tidak akan berputus asa dan akan membuat permohonan baru menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).
“Jika belum ada lagi kelulusan, kita akan terus membuat permohonan setiap tahun dan akhirnya akan ada berita baik untuk rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.