MANTAN YDP MPP PENERIMA SULUNG ANUGERAH TEJA UTEM

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

DURIAN TUNGGAL 13 November – Mantan Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Norma Badrulhisham dipilih sebagai penerima sulung Anugerah TEJA yang mula diperkenalkan sempena Majlis Konvokesyen UTeM ke-20, baru-baru ini.

Anugerah itu diberikan kepadanya di atas sifat kepimpinan yang ditonjolkan selain graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian itu juga cemerlang dengan meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.

Norma menyatakan rasa amat terharu dan bersyukur kerana telah terpilih sebagai penerima sulung Anugerah TEJA UTeM yang mula diperkenalkan oleh UTeM pada tahun ini.

“Bergelar sebagai mahasiswa dan pada masa sama menggalas tanggjungjawab sebagai YDP merupakan laluan getir dan sukar kerana kesemuanya perlu disempurnakan dalam satu tempoh masa yang sama.

“Banyak juga cabaran yang harus ditempuh terutama dalam menjaga kebajikan pelajar lain di samping menumpukan perhatian dalam memburu kejayaan akademik untuk mencorak kecemerlangan masa depan kerana saya menjadi harapan keluarga.

“Syukur, berkat doa kedua ibu dan ayah serta sokongan hebat daripada para pensyarah dan rakan-rakan semuanya dapat dicapai,” ujarnya yang berasal dari Bruas, Perak.

Anak keempat dari tujuh beradik itu kini telah mula bekerja sebagai Jurutera Pembangunan Produk di sebuah syarikat semikonduktor.

Anugerah TEJA (Atribut TEJA melambangkan sifat dan kualiti peribadi mahasiswi UTeM yang Tangkas, Elegan, Jagat dan Adaptif) dianugerahkan kepada graduan ikon mahasiswi yang telah mengharumkan nama universiti dalam pelbagai aspek seperti pembangunan akademik dan kerjaya, kepimpinan, etika dan kerohanian, sukarelawan dan khidmat komuniti, kebudayaan dan identiti nasional, sukan dan rekreasi serta teknikal dan inovasi.

Anugerah TEJA itu merupakan salah satu daripada anugerah utama yang diberikan UTeM di samping Anugerah Pelajaran Diraja, Hadiah Canselor, Hadiah Naib Canselor, Hadiah Industri, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Khas Huffaz Profesional, Sagu Hati Huffaz Profesional dan Anugerah TUAH.

UTeM turut memberikan Anugerah Khas Huffaz Profesional dan Sagu Hati Huffaz Profesional, di mana Anugerah Khas Huffaz Profesional telah dianugerahkan kepada Nik Muhammad Afham Mohd Affandi, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dengan kepujian.

Sementara itu, Sagu Hati Huffaz Profesional pula dianugerahkan kepada Wan Mohamad Firdaus Wan Faizal graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Penyelenggaraan) dengan kepujian dan Husnul Musyirah Abdul Halim, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer) dengan kepujian.

Mereka merupakan antara 78 orang graduan menerima anugerah-anugerah utama berkenaan yang disampaikan sewaktu sesi pertama pada hari pertama Majlis Konvoksesyen UTeM ke 20.

Sementara itu, Anugerah Kecemerlangan Industri dan Anugerah Industri pula, UTeM telah mendapat tajaan khas daripada beberapa pihak industri untuk dianugerahkan kepada graduan cemerlang pilihan industri.

Antara anugerah terbaharu bagi Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Industri adalah dari UMW manakala selainnya seperti sebelum ini daripada industri seperti Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Xinyi Glass Holdings, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd., STMicroelectronics Sdn. Bhd., Johnson Controls dan Onsemi.

Majlis Konvokesyen UTeM ke-20 meraikan 3,459 graduan yang menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana serta ijazah Doktor Falsafah (PhD) masing-masing pada majlis yang berlangsung tiga hari bermula 9 hingga 11 November lalu membabitkan enam sesi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

163
Kongsi :
Previous post PASUKAN HOKI SSN PREDATOR BAWA NAMA MELAKA DI AUSTRALIA
Next post MAIM RINGANKAN BEBAN KELUARGA OKU TERLANTAR
Ubah saiz-+=