Sorting by

×

PROTON X50 MENANTI GENG RXZ DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 12 November – Sebuah kereta Proton X50 bakal menanti peserta bertuah pada program Ride Edition RXZ Members Melaka Chapter 2024 yang akan diadakan di Dataran MITC, di sini, 6 dan 7 Disember depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain sebuah kereta, turut disediakan sebuah motosikal Yamaha RXZ klasik dan Yamaha Y15 untuk pengunjung bertuah pada himpunan berkenaan.

Menurut beliau, dianggarkan seramai 40,000 peminat motosikal itu akan berkampung di Melaka selama dua hari dengan pelbagai pengisian menarik disediakan.

“Kita percaya himpunan ini akan mencipta sejarah dengan puluhan ribu pencinta dua roda ini akan datang dengan pelbagai pengisian seperti program CSR (tanggungjawab sosial korporat), doa selamat dan pelbagai reruai berkaitan permotoran.

“Program ini bukan sahaja bertujuan mempamerkan kehebatan motosikal RXZ, tetapi juga merupakan wadah ikatan silaturahim yang boleh dikembangkan dan menjadi satu jaringan kepada peminat RXZ seluruh Malaysia.

“Pastinya Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan sokongan kepada program seperti ini dan diharap ia dapat memberi kenangan indah kepada semua yang datang ke Melaka pada 6 dan 7 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Proton X50 Sempena Ride Edition RXZ Members Melaka Chapter 2024 di Hotel MITC, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, program tersebut merupakan sebahagian program disediakan Bahagian Promosi Pelancongan Negeri bagi mempromosikan penutup tirai kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Beliau turut mengalu-alukan semua untuk datang ke program tersebut bagi merasai sendiri kelainan yang dibawakan Melaka dalam penganjuran acara yang menghimpunkan peminat dunia permotoran dari seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2460
Kongsi :
Previous post LELAKI DITEMUKAN LEMAS KETIKA KELUAR MENCARI SIPUT
Next post MELAKA MILIKI ‘AURA’ GAMIT PEMINAT RXZ
Ubah saiz-+=