PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DIREMPUH PEMANDU DISYAKI MABUK

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER LIMAU 12 November – Seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang masuk ke laluan bertentangan di Jalan Jeram, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, mangsa, Muhammad Syairazi Rahmat, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala ke rumahnya di Kuala Sungai Baru.

Katanya, ketika melalui lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun menghala ke Masjid Tanah dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan, lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Akibat rempuhan, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan Pol 61 telah dikeluarkan untuk bedah siasat.

“Pemandu kereta pula mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah,” katanya.

Menurut Ashari, siasatan lanjut juga mendapati pemandu kereta yang tidak memiliki lesen memandu disyaki mabuk dan ujian darah telah dilakukan untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihaknya masih mengesan saksi yang melihat kejadian tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

374
Kongsi :
Previous post POLIS TAHAN PENJAJA MILIKI DUA PUCUK PISTOL
Next post 1,181 PELAJAR SERTAI PERTANDINGAN KAWAD KAKI PERINGKAT KEBANGSAAN
Ubah saiz-+=