KIPMALL MELAKA KOMITED LAKSANA ESG

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BACHANG 12 November – KIPMall Melaka mengambil pendekatan serius bagi melaksana elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai usaha menyokong hasrat kerajaan untuk mencapai masa depan lestari kepada negara.

Pengurus KIPMall Melaka, Mohamad Elmy Othman berkata, pihaknya kini telah memulakan transisi ke arah ESG dengan melaksanakan kerjasama kempen kitar semula bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta beberapa amalan hijau di pasar raya tersebut.

“Di pihak KIPMall Melaka, kami telah memulakan amalan ESG ini sejak awal, di mana kami mulakan dengan kerjasama kitar semula dengan SWcorp serta sokongan terhadap kempen kesihatan (sosial).

“Kami melihat perkara ini sebagai antara usaha jangka masa panjang, dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa, terutamanya ke arah menyokong pelaksanaan teknologi hijau amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Sambutan Hari Diabetis Peringkat Negeri Melaka 2024 di KIPMall Melaka, di sini, pada baru-baru ini.

Sambutan itu dirasmikan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.

Menurut Mohamad Elmy, pihaknya kini sedang giat melaksanakan ESG dengan mendukung perniagaan efisien tanpa menjejaskan alam sekitar, di sampung mempromosikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan kesihatan dan pendidikan serta pengurusan tadbir urus yang berkesan.

“Buat masa ini, kami menekankan kepada elemen alam sekitar dari segi mentadbir perniagaan secara efisien dengan mengurangkan impak kepada alam sekitar, manakala untuk sosial, kami mempromosikan tanggungjawab sosial dari pelbagai sudut terutamanya kesihatan dan pendidikan.

“Dari segi tadbir urus pula, kami menekankan kepada akauntabiliti dan ketelusan yang mengukuhkan hubungan baik bersama pihak berkepentingan termasuk pemegang saham, pelanggan, pekerja dan komuniti,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post REBUT PELUANG SEWA UNIT HARTANAH MAIM
Next post MOTOSIKAL MENANTI PESERTA LARIAN BUDAYA ANTARABANGSA DUYONG KITA
Ubah saiz-+=