JPKK, JAWATANKUASA TASKFORCE TANGANI PENIPUAN KEWANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 11 November – Jalinan kerjasama antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  bersama Jawatankuasa Taskforce Negeri Melaka, diharap dapat membantu menangani kes penipuan kewangan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, penipuan kewangan pada masa kini menjadi satu isu yang semakin membimbangkan masyarakat berikutan kecanggihan teknologi semasa yang disalahgunakan.

Katanya, jawatankuasa ditubuhkan berperanan untuk menangani judi dalam talian, penipuan internet dan jenayah siber di Negeri Melaka.

“Rakyat Melaka akan diberikan lebih banyak pendedahan dan pengetahuan untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan kewangan, selain itu pada masa yang sama mereka diminta untuk bersama-sama menyebarkan maklumat diterima kepada orang lain disekeliling.

“Justeru saya berharap agar ahli JPKK Negeri Melaka terutamanya sebagai wakil masyarakat dapat menjadi mata, telinga dan suara kepada jawatankuasa ini dalam menyebarkan maklumat kepada komuniti setempat.

“Bersama-sama kita membina satu masyarakat yang lebih celik kewangan, mempunyai kesedaran dan kefahaman yang tinggi berhubung penipuan kewangan, sekali gus bebas daripada ancaman penipuan,” katanya.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata demikian ketika berucap pada Program Kesedaran Jenayah Kewangan Bersama JPKK Negeri Melaka, di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Menurut Fairul Nizam, bagi membantu keberkesanan pelaksanaan aktiviti dan kempen kesedaran penipuan kewangan oleh JPKK, Jawatankuasa Taskforce Negeri Melaka turut mendapat sokongan serta persetujuan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) Melaka untuk menjadi ‘touch-point’ kepada ahli JPKK.

“Saya harap kerjasama ini dapat meningkatkan perkongsian dan meluaskan lagi capaian penyebaran maklumat, menjadikannya lebih efektif seterusnya meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Menerusi inisiatif ini saya yakin kita mampu membina masyarakat yang lebih waspada, berpengetahuan dan lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan kewangan pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

121
Kongsi :
Previous post PENUMPANG GENTING DREAM TERUJA MAHU TEROKA MELAKA
Next post CINTA DITOLAK PUNCA WANITA DAN BAPANYA MAUT DITIKAM
Ubah saiz-+=